Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Azhar Abdul Hamid hari ini mengumumkan meletakkan jawatan ekoran kemalangan yang mengorbankan tiga nyawa di tapak pembinaan MRT malam tadi.
Beliau membuat pengumuman itu dalam sidang media di Sungai Buloh hari ini. Pagi tadi MYKMU menggesa pihak pengurusan MRT CORP mengambil tanggungjawab setelah beberapa siri kemalangan berlaku dalam projek MRT ini tampak seperti tiada kesudahan.
“Sebagai peneraju MRT Corp, saya ambil tanggungjawab peribadi atas insiden yang berlaku dan ia (letak jawatan) tindakan yang betul untuk dilakukan,” katanya.
Beliau juga berkata, keputusan meletakkan jawatan itu sudah dimaklumkan kepada Pengerusi MRT Corp Tan Sri Ali Hamsa.
Sedih dengan kemalangan itu, Azhar berharap selepas ini punca kemalangan yang dikenal pasti akan dapat diperbetulkan.
“Saya harap semua kelemahan yang dikenal pasti dapat diperbaiki,” katanya.
Azhar dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif MRT Corp pada 1 September 2011.
Ia sebahagian langkah susulan kepada keputusan kerajaan untuk menubuhkan syarikat bagi mengambil alih pemilikan dan pembangunan projek MRT di Lembah Klang daripada Syarikat Prasarana Malaysia Bhd.
Tiga pekerja binaan lelaki warga Bangladesh maut selepas dihempap landasan konkrit seberat 490 tan di tapak projek MRT berhampiran Institut Penyelidikan Getah Malaysia, Kota Damansara jam 8.30 malam tadi.
Pada jam 2.30 pagi semalam, mayat pertama mangsa ditemui pihak bomba.
Dua lagi mayat mangsa berjaya dikeluarkan daripada tapak kemalangan pada jam 1.35 tengah hari tadi.
No comments:
Post a Comment