Wednesday, 6 August 2014

APA KE JADAHNYA NAK SAMAKAN KES MB PERAK TAHUN 2009 DENGAN KES KHALID IBRAHIM ???

 

SHAH ALAM 6 Ogos - Penyingkiran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak pada 2009 kini akan menghantui Barisan Nasional (BN) dan penyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mahukan beliau kekal di pejabatnya, kata peguam.
 
Pakar perundangan berkata, mereka yang mahu Khalid kekal sebagai menteri besar di Selangor mungkin tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2010 yang mengesahkan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menggantikan Nizar.

Peguam berkata, Pakatan Rakyat (PR) boleh menggunakan keputusan itu untuk menyingkirkan Khalid.

Keputusan mahkamah membolehkan prinsipal pihak berkuasa melantik (Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu dan pemerintah) boleh menentukan sama ada pemimpin kerajaan (perdana menteri/menteri besar/ketua menteri) hilang keyakinan majoriti wakil rakyat atau tidak.

Apabila ini diputuskan, pemimpin itu harus meletak jawatan serta anggota Kabinet atau exconya.

Keputusan itu juga membolehkan ketua kerajaan berkenaan dianggap tersingkir daripada pejabatnya jika beliau enggan meletak jawatan selepas menerima undi tidak percaya.

Ia membuka jalan untuk pelantikan ketua kerajaan yang baharu atau pembubaran Dewan.

Dalam kes Perak, Nizar hilang sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) apabila tiga wakil rakyat menyokong BN pada Februari 2009.

Nisbah ahli adalah masing-masing 28 bagi PR yang dipimpin Nizar dan juga BN.

Nizar kemudiannya menasihati Almarhum Sultan Azlan Shah untuk membubarkan Dewan, namun baginda enggan berbuat demikian dan melantik Zambry.

"Kami berpendapat tiada peruntukan dalam Artikel 16(6) atau mana-mana peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri (Perak) menyatakan hilangnya keyakinan kepada menteri besar hanya boleh dibuat melalui undi dalam sidang DUN.

"Oleh itu, bukti hilangnya keyakinan kepada menteri besar boleh dikumpulkan daripada sumber lain," kata Ketua Hakim Tun Arifin Zakaria ketika membacakan penghakimannya.

Hakim berkata, Sultan Azlan Shah mempunyai bukti mencukupi untuk memutuskan Nizar hilang sokongan DUN tanpa memanggil sidang untuk undi tidak percaya.

Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak kemudiannya mengumumkan, dengan kehadiran tiga Adun itu, BN mempunyai majoriti 31 kerusi berbanding PR yang hanya mempunyai 28 kerusi DUN.

Peguam Fakulti Undang-undang Universiti Malaya Profesor Gurdial Singh Nijar berkata, berdasarkan kes di Perak, Adun PR di Selangor boleh mengemukakan perakuan bersumpah kepada Sultan menyatakan mereka hilang keyakinan kepada Khalid.

PR mempunyai 44 kerusi dan BN 12 kerusi di Selangor.

"Berdasarkan faktor itu, Sultan boleh menjemput calon lain yang pada pendapatnya mempunyai majoriti dalam DUN untuk dilantik sebagai menteri besar," katanya.

Nijar berkata, secara amalannya, Sultan melantik ketua kerajaan berdasarkan nasihat parti yang berkuasa.

Beliau berkata, di Selangor, PR mempunyai dua pertiga majoriti dan calon yang dicadangkan untuk menggantikan Khalid memenuhi kriteria di bawah undang-undang tubuh negeri seperti berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Peguam Perlembagaan Syahredzan Johan berkata Khalid terpaksa meletak jawatan bersama barisan exco sekiranya majoriti Adun hilang keyakinan terhadapnya.

"Beliau boleh menasihati Sultan untuk membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya semula, namun jika baginda enggan, calon baru boleh dilantik sebagai menteri besar," katanya.

Beliau berkata, Sultan mungkin terpanggil untuk melantik calon baru mengetuai negeri itu sekiranya jumlah hilang kepercayaan terhadap Khalid begitu ketara.

Syahredzan berkata, Sultan mungkin terdorong untuk membubarkan DUN jika Khalid gagal mendapat undi percaya walau sedikit pun.

"Mana-mana situasi pun, Sultan ada kuasa untuk memilih membubarkan Dewan selepas mengambil kira nasihat menteri besar," katanya.

Peguam R Kengadharan berkata, parti komponen PR mencapai persefahaman yang calon bagi kerusi menteri besar Selangor adalah daripada PKR, maka Khalid perlu berundur secara terhormat kerana parti sudah membuat keputusan.

"Mengumumkan beliau akan terus berkhidmat hingga habis penggal menunjukkan bantahan terbuka dan menentang kepimpinan parti," katanya.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri British Margaret Thatcher meletak jawatan apabila tidak lagi menerima sokongan parti dan ahli Parlimennya.

"Khalid tidak seharusnya menjadi penghalang proses pertukaran ini atau pergerakan politik itu akan jadi kacau bilau dan faktor luaran akan masuk, termasuk pembangkang yang akan mengambil kesempatan," katanya.

Khalid menerima tekanan bertalu-talu untuk berundur berikutan isu yang berlaku sepanjang pemerintahannya termasuk kontroversi Lebuhraya Kidex, rampasan Bible berbahasa Melayu dan Iban serta pengurusan air.

Lembaga Disiplin parti memberikan surat tunjuk sebab kepadanya semalam kerana membantah keputusan parti menggantikan beliau dengan isteri Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Khalid perlu menjawab surat berkenaan pada atau sebelum 8 Ogos.

DAP menyokong penyingkiran Khalid namun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata Khalid perlu kekal sebagai menteri besar kerana beliau tidak mengkhianati keyakinan rakyat.

Dewan Ulama PAS akan menganjurkan solat hajat esok meminta agar Khalid kekal sebagai menteri besar Selangor. - rakyatnews

Post a Comment