Kata Lim Guan Eng.... Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bakal dilihat "begitu mementingkan diri sendiri" sekiranya beliau membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sedangkan jelas beliau kehilangan majoriti sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
Setiausaha Agung DAP itu berkata, pembubaran sidang DUN bercanggah dengan prinsip sebenar demokrasi.
"Itu menunjukkan beliau sangat mementingkan diri dan membelakangkan prinsip demokrasi, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dan mandat rakyat untuk kekal sebagai menteri besar.
"Itu menunjukkan (Khalid) lebih mementingkan kedudukan berbanding hak rakyat dan kedaulatan undang-undang.
"Ini ancaman yang sering beliau gunakan untuk kekal sebagai menteri besar," kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi ketika ditanya kemungkinan Khalid akan membubarkan sidang DUN dan mengadakan pilihan raya mengejut untuk menamatkan krisis kepimpinan di Selangor.
Khalid semalam berkata, sebarang keputusan berhubung perkara itu, termasuk peletakan jawatannya sebagai menteri besar termasuk pelantikan menteri besar baru hanya akan diputuskan selepas pertemuan dengan Sultan Selangor.
Lim berkata, jelas dalam undang-undang tubuh di Selangor, sesiapa yang mempunyai majoriti Adun adalah layak untuk dilantik sebagai menteri besar.
"Ini dibuktikan ketika krisis Perlembagaan di Perak pada 2009. Menteri besar baru dilantik tanpa membubarkan DUN. Dalam insiden itu, hanya tiga Adun terkesan.
"Di Selangor, Pakatan Rakyat (PR) memenangi majoriti besar (berbanding Perak). PR menang 44 daripada 56 kerusi DUN, 30 Adun lagi menyokong (Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail) sebagai menteri besar baru," katanya.
Lim merujuk kepada PR hilang kerajaan Perak pada 2009 selepas tiga Adun PR meninggalkan parti itu dan menjadi Adun Bebas mesra Barisan Nasional (BN).
Dalam Pilihan Raya Umum 2009, PR memenangi 31 daripada 59 kerusi DUN di Perak.
Sultan Perak ketika itu enggan memperkenankan permohonan menteri besar ketika itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya semula.
Kerajaan PR tewas apabila kehilangan majoriti kepada BN yang kemudiannya melantik Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar.
Lim berkata, Dr Wan Azizah terbukti mempunyai majoriti 30 anggota DUN apabila mereka menyuarakannya secara terbuka memilih beliau menjadi menteri besar.
"Sehingga hari ini, Khalid masih belum membuktikan sokongan Adun yang diterimanya. Mungkin hanya 12 daripada Umno.
"Kita masih lagi tidak tahu bakinya, tapi adakah kita tidak pandai mengira?" soalnya.
Kepimpinan PAS masih belum memutuskan keputusan sama ada mengekalkan Khalid atau menggantikannya dengan Dr Wan Azizah menjadi menteri besar baru.
Parti itu dijangka bermesyuarat esok untuk memutuskan perkara itu dan dijangka mengemukakan calon alternatif bagi jawatan berkenaan.
"Kita perlu menunggu hingga esok," kata Lim ketika ditanya jangkaan keputusan mesyuarat PAS.
"Kerusi itu milik PKR. Kenapa PKR tidak lagi mahukan Khalid, itu terpulang kepada mereka untuk menjelaskannya," katanya.
"Bagi DAP, kami menghormati keputusan itu. Jika PKR mahu tukar, sebagai rakan yang setia, kita hormatinya dan menerima Dr Wan Azizah sebagai menteri besar baru," katanya. – TMI 16 Ogos, 2014.
Dok mengata Khalid Ibrahim pentingkan diri sendiri.... Anwar Ibrahim tu tak pentingkan diri sendiri ke... sampai sanggup menghuru-harakan politik Selangor demi cita-citanya dengan mengkudakan Wan Azizah...???
No comments:
Post a Comment