Tuesday 8 July 2014

POLIS GAGALKAN CUBAAN CULIK OLEH 7 LELAKI DI SEMPORNA


KOTA KINABALU 7 Julai - Pasukan keselamatan memburu tujuh lelaki bersenjata yang disyaki cuba melakukan satu lagi penculikan di perairan pantai timur Sabah. 
 
Kumpulan lelaki bersenjata itu dilaporkan cuba menceroboh sebuah ladang ternakan ikan dalam sangkar berhampiran Kampung Bangau-Bangau, kira-kira 2.5 batu nautika dari pekan Semporna. 
 
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, enam daripada suspek dilaporkan bertopeng dan bersenjata parang panjang, manakala seorang lagi tidak bertopeng dan mempunyai pistol. 
 
Mereka yang menaiki sebuah bot laju, naik ke pelantar sangkar ikan berkenaan sebelum bertanya kepada pekerja di mana pemilik sangkar ikan terbabit. 
 
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata menyedari pemilik sangkar ikan itu tiada di situ, kumpulan bersenjata berkenaan mengambil televisyen, dekoder Astro dan beberapa peralatan lain. 
 
"Berikutan kejadian itu, polis menggerakkan tujuh bot Marin bersama anggota Unit Tindakan Khas (UTK) untuk mengesan bot laju terbabit sekitar kawasan perairan Pulau Bangau-Bangau, Mataking dan pulau lain yang berhampiran," katanya. 
 
Beliau berkata, lapan pekerja sangkar ikan berkenaan yang juga warga asing turut ditahan bagi membantu siasatan.

No comments: