Saturday, 5 July 2014

PAS, DAP BIMBANG DENGAN KRISIS DALAMAN PKR YANG SEMAKIN SERIUS


KUALA LUMPUR :  Konflik berkaitan jawatan Menteri Besar Selangor yang disandang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengesahkan bahawa krisis dalaman PKR kini serius dan membimbangkan PAS dan DAP.

Menurut sumber, pertelagahan serta percanggahan pendirian di antara Abdul Khalid dan pimpinan PKR dalam banyak hal menyebabkan komponen Pakatan Rakyat yang lain tidak gembira.

"Sebenanarnya memang ada masalah dalaman yang serius di Selangor, bukan masalah Pakatan Rakyat tetapi masalah PKR dan bila jadi begitu PAS dan DAP juga terlibat.

"Pimpinan DAP juga nampaknya mula rasa tidak senang dengan apa yang berlaku dan PAS belum bincang lagi," katanya ketika dihubungi.

Tambah sumber dalaman PAS itu lagi, partinya mungkin membincangkan perkara itu dalam mesyuarat bulanan sekiranya dibangkitkan.

"PAS belum bincang, kalau bincang pun dalam mesyuarat bulanan akan datang sekiranya dibangkitkan," katanya.

Polemik jawatan Menteri Besar Selangor bukan kali pertama berlaku bahkan Abdul Khalid pernah dikritik parti sendiri sebelum ini.

Bagaimanapun kini PAS yang sebelum ini lebih berdiam diri berasa “terheret” menyertai DAP apabila menyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu perlu berundur dari kedudukannya.

Ahli Parlimen PAS dan DAP, Khalid Samad (Shah Alam) dan Gobind Singh Deo (Puchong) baru-baru ini mengkritik Abdul Khalid berhubung pelbagai isu yang dikatakan berpunca tindakan Khalid yang membelakangkan PKR dan gabungan itu.

Sebelum ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kedudukan Abdul Khalid sebagai menteri besar Selangor hanya akan diputuskan setelah mendapat persetujuan ketiga-tiga pemimpin parti daripada Pakatan.

Ketua pembangkang itu berkata, keputusan untuk mengekalkan atau membuat perubahan perlu dibuat secara bersama sebelum membawa perkara itu untuk mendapat perkenan Sultan Selangor.

Post a Comment