Saturday, 12 July 2014

MISTERI PENGANTIN PEREMPUAN MENINGGAL DUNIA 3 JAM SEBELUM BERSANDING


KUALA LUMPUR 12 Julai - Sebelum ini, ramai yang membuat spekulasi pengantin perempuan yang meninggal dunia 3 jam sebelum majlis persandingan pada hujung bulan Jun lalu telah dicabut nyawanya oleh 'benda' yang dihantar pengamal ilmu sihir (black magic).
 
Hasrat dua keluarga untuk melihat anak masing-masing bersanding di atas pelamin, tidak kesampaian apabila pengantin perempuan meninggal dunia, tiga jam sebelum majlis itu berlangsung di Dewan Yayasan Felda di Kelana Jaya.
 
Junaida Jamaludin, 29, yang baru diijabkabulkan dengan pasangannya, Muhammad Danial Zainal Abidin, 30,ditemui tidak bernyawa oleh ahli keluarganya di bilik rumah mereka di Petaling Jaya, kira-kira pukul 8.30 pagi.
 
Lebih menyedihkan, kematian Junaida hanya diketahui ketika ahli keluarga lain sedang sibuk melakukan persiapan terakhir majlis persandingan yang dijangka bermula pada pukul 11.30 pagi dengan jemputan seramai 900 orang.
 
Pengantin difahamkan tidak mempunyai sebarang penyakit kritikal, walau bagaimanapun pemeriksaan perubatan mendapati kematiannya dipercayai berkaitan dengan masalah saluran urat di kepala.
 
Sebahagian daripada tetamu yang dijemput turut terpinga-pinga sebaik sahaja sampai di dewan berkenaan yang ‘suram’, sebelum mengetahui berita kematian tersebut.
 
Abang Junaida, Kamarul Affendy, 38, berkata, segala persiapan telah siap sepenuhnya dan mereka sekeluarga hanya menunggu persandingan kedua-dua mempelai disempurnakan sahaja.
 
Namun katanya, takdir telah mendahului mereka apabila adik bongsu daripada empat beradik itu telah pulang ke rahmatullah sebelum sempat menunaikan tanggungjawab sebagai isteri.
 
“Kami semua tidak sabar untuk meraikan pasangan pengantin baharu itu kerana ini majlis kedua dalam keluarga kami. Semua benda telah pun siap dan kami hanya menunggu untuk melihat arwah dan pasangannya berarak dan bersanding di pelamin yang dihias indah.
 
“Namun semua perancangan kami tinggal impian semata-mata kerana adik telah meninggal dunia sebelum majlis itu sempat bermula. Majlis itu kami jadikan sebagai kenduri arwah sahaja,” katanya ketika dihubungi.
 
Menceritakan kejadian itu, Kamarul Affendy memberitahu, Junaida gagal dihubungi ahli keluarga yang lain ketika mereka sekeluarga mahu ke dewan untuk persiapan terakhir.
 
“Kami semua sepatutnya berada di dewan itu pada pukul 9 pagi dan ada ahli keluarga yang lain cuba menghubungi adik namun panggilan tidak berjawab.
 
“Kami kemudian ke biliknya dan kami sangka dia tidur kerana terlalu letih ekoran majlis malam tadi, namun semuanya berubah apabila menemukan dia tidak sedarkan diri,” katanya. - RakyatNews

No comments: