Wednesday, 30 July 2014

KHALID PERLUKAN 'KERAMAT' NIK AZIZ UNTUK KEKAL MB SELANGOR ???

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melawat Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Baru, Kelantan semalam. – Gambar dari Facebook Khalid, 30 Julai, 2014.
Krisis berlaku di Selangor, namun tumpuan beberapa hari lepas berada di rumah sederhana Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan apabila pemimpin PKR cuba mendapatkan bantuan MursyidulU Am PAS itu untuk menyelamatkan Pakatan Rakyat (PR) daripada berpecah.
Semalam Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengunjungi Nik Aziz di Kota Baru manakala Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail akan mengunjungi beliau hari ini.

PR berada di persimpangan berhubung isu menteri besar Selangor dan apabila mesej WhatsApp Ahli Jawatankuasa PAS Pusat terbocor dan ada anggotanya meminta parti Islam itu keluar daripada gabungan pembangkang itu.

Nik Aziz sebelum ini menyokong secara terbuka presiden partinya Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahukan Khalid kekal sebagai menteri besar.

Hari ini Saifuddin akan bertemu Nik Aziz dengan harapan pemimpin PAS itu akan berubah fikiran dalam menyokong Khalid.

"Saya akan pulang mengunjungi keluarga isteri saya di Kelantan esok dan sempena itu juga saya akan mengunjungi Tok Guru Nik Aziz," kata Saifuddin kepada The Malaysian Insider.

Saifuddin mempunyai hubungan yang agak istimewa dengan Nik Aziz. Minggu lalu ketika tersebar berita kononnya Nik Aziz meninggal dunia, Saifuddin bersama-sama Nik Aziz di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kota Baru.

"Ketika saya berjumpanya minggu lepas, kami berbual tentang politik tanah air. Kelihatan Tok Guru (Nik Aziz) tidak berapa tahu sangat kerana dia keluar masuk hospital sahaja.

"Tetapi kenyataan Tok Guru semalam begitu komprehensif sekali. Harap-harap dapat faham apa yang berlaku bila berjumpa Tok Guru esok," kata Saifuddin.

Khalid juga kelihatan cuba merapatkan hubungan dengan pemimpin Kelantan itu.

Ketika kecoh 'Langkah Kajang' dilancarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu, Khalid menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub di samping mengunjungi Nik Aziz di Kota Baru.

"Jika kita hendak pertahankan PAS, maka perlu sokong kenyataan kedua-dua mereka (presiden dan mursyidul am) dalam mesyuarat 10 Ogos ini.

"Jika begitu, bermakna kita terpaksa bertembung dengan keputusan PKR yang disokong DAP.

"Jadi kita dalam dilema, diluah mati emak ditelan mati bapa," kata seorang pemimpin yang bagi beliau, PAS paling mendapat keuntungan dan sokongan maksima apabila bersama PR.

Bagaimanapun Setiausaha Agung PAS memberitahu The Malaysian Insider: "Jangan bimbang. Kita akan usahakan supaya PAS tidak berpecah dan Pakatan terus mantap dalam mesyuarat 10 Ogos ini." –30 Julai, 2014.

Post a Comment