Saturday 17 May 2014

PRESIDEN GERAKAN CALON BN PRK PARLIMEN TELUK INTAN


Menepati ramalan awal, Presiden GERAKAN, Datuk Mah Siew Keong diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.


Pengumuman dibuat Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan ribuan penyokong BN di perkarangan Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), sebentar tadi.

“Hari ini, kita umumkan Datuk Mah Siew Keong sebagai calon BN dan pencalonannya itu diputuskan oleh Pengerusi BN.

“Kita juga yakin pemilihan itu bersesuaian kerana Siew Keong sudah lama berkecimpung dalam dunia politik serta lebih mengenali penduduk dan pengundi Teluk Intan selain pernah menjadi wakil rakyat di sini.

“Justeru, saya melihat pencalonan beliau itu sebagai proses kebangkitan semula GERAKAN di bawah kepimpinan yang baharu,” katanya.

Sehubungan itu, lebih 60,000 pengundi di Teluk Intan diminta agar memberi peluang kepada calon BN itu untuk berkhidmat kepada rakyat di situ.

Ini kerana katanya, Siew Keong lebih dikenali ramai dan tahu selok-belok masalah rakyat di kawasan berkenaan.

“Yang penting, kemenangan BN di Teluk Intan akan merapatkan hubungan antara kerajaan negeri dan Pusat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau katanya, mahu setiap masalah rakyat dikenalpasti untuk diselesaikan dengan sebaik mungkin.

Ditanya majoriti 7,000 undi yang dimenangi parti DAP pada pilihan raya umum lalu, Muhyiddin berkata, pihaknya sudah mengenalpasti kawasan atau kubu kuat bagi BN dan sebaliknya.

“Terdapat 37 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan kita akan meletakkan sasaran yang realistik untuk dicapai termasuklah berapa jumlah undi yang boleh diperolehi daripada pengundi Melayu, Cina, India dan lain-lain.

“Untuk mencapai sasaran itu, jentera BN perlu bergerak ke setiap rumah pengundi,” tegasnya lagi.

Menjawab soalan berkaitan arah sokongan pengundi Cina kepada BN, beliau berkata, perubahan positif dapat dilihat pada PRK Kajang dan anjakan sama juga diharap berlaku di Teluk Intan.

Ditanya lagi mengenai tindakan DAP meletakkan calon wanita, Muhyiddin berkata, pihaknya tidak mahu memperkecil-kecilkan keputusan parti pembangkang itu.

“Kita di pihak BN hormati calon-calon yang bertanding dan Siew Keong merupakan calon yang paling tepat kerana sudah banyak berjasa di Teluk Intan,” ujarnya lagi. - PerakToday

No comments: