Thursday, 29 May 2014

ALMARHUM SULTAN AZLAN DIGELAR SEBAGAI 'BAPA HOKI MALAYSIA'


KUALA LUMPUR : 

Arena sukan negara hari ini sedih dengan kemangkatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang digelar 'Bapa Hoki Malaysia' yang banyak memberi sumbangan besar kepada sukan hoki tanah air. 


Almarhum baginda yang mencintai sukan hoki sejak di bangku sekolah tidak pernah jemu membangunkan sukan hoki negara sejak 41 tahun yang lalu hingga pasukan kebangsaan mampu berdiri sama tinggi dengan pasukan ternama dunia. 



Piala Sultan Azlah Shah
Almarhum juga pernah mewakili pasukan hoki Perak, iaitu antara pasukan terbaik ketika itu sebelum dilantik sebagai Naib Presiden Persatuan Hoki Malaysia (PHM) pada 1973. 


Malaysia kemudiannya dipilih menganjurkan Piala Dunia pada 1975 di Kuala Lumpur dan dalam kejohanan itu Malaysia berjaya menduduki tempat keempat, sekali gus mula meletakkan negara dalam persada hoki dunia. 






Stadium Hoki Azlan Shah Ipoh
Pada 1980, Sultan Azlan Shah dilantik sebagai Timbalan Presiden PHM, sebelum menerajui persatuan itu selama dua dekad. Selepas itu baginda dilantik sebagai Penasihat Kehormat persatuan kebangsaan itu. 

Di bawah kepimpinan baginda, Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah Piala Dunia pada 2002 yang diadakan di Stadium Hoki Bukit Jalil dan pasukan negara menduduki tempat kesembilan. 

Semasa memimpin PHM, Sultan Azlan Shah turut mengilhamkan satu pertandingan bertaraf antarabangsa bagi memberi peluang kepada pemain kebangsaan untuk beraksi bersama pasukan handalan lain. 

Piala Sultan Azlan Shah yang dianjurkan pada 1992 dengan penyertaan lapan pasukan terhandal dunia terdiri daripada empat pasukan Asia termasuk Malaysia turut diiktiraf Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH). 

Kejohanan ini juga mempunyai keistimewaan sendiri bukan sahaja untuk pembangunan sukan hoki negara malah satu-satunya kejohanan bertaraf antarabangsa yang menggunakan nama individu sebagai nama pertandingan.

Selain mengharumkan nama negara, baginda juga amat mementingkan kebajikan para pemain dengan menubuhkan Yayasan Hoki Malaysia pada 1992. 

Yayasan itu memberi tumpuan kepada tiga objektif utama iaitu pemberian biasiswa untuk pemain melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, faedah persaraan serta kebajikan jika berlaku kematian atau kemalangan. 

Dengan adanya yayasan itu, beberapa pemain negara telah mendapat ijazah dalam bidang perubatan, meneruskan pengajian sehingga menjadi jurutera profesional, mendapat ijazah dalam perakaunan profesional dan ijazah dalam sains sukan. 

Walaupun dikenali dengan personaliti yang tegas, cekap dan serius, namun baginda juga menjalin hubungan rapat antara pemain dan sentiasa mengadakan jamuan untuk berjumpa sendiri dengan pemain selain mendengar sendiri masalah yang dihadapi pemain untuk tindakan segera agar tidak mengganggu prestasi permainan. 

Sultan Azlan Shah juga Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF) sehingga kini.

Sejak menerajui AHF, pelbagai pencapaian demi memartabarkan sukan hoki di rantau ini berjaya dicapai antaranya memperkenankan penubuhan Akademi Hoki Asia. 

Baginda juga pernah dilantik menjadi Naib Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) selama dua penggal pada 1992. 

- BERNAMA

No comments: