Saturday, 26 April 2014

PMUM TIDAK PUAS HATI KAWALAN KESELAMATAN TERLALU KETAT TERHADAP KUNJUNGAN OBAMA

Ramai ke yang bantah ? Atau sebanyak tu aje..?

Tindakan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) membuat sidang akhbar menyatakan perasaan tidak berpuas hati mereka, dengan tindakan Universiti Malaya mengetatkan keselamatan dan mengurangkan akses ke dalam universiti pada hari kehadiran Presiden Amerika Syarikar, Barrack Obama, ke universiti tersebut adalah merupakan satu tindakan bodoh dan memalukan. 


Sebagai bekas pelajar UM, saya tidak pernah terfikir akan ada pimpinan pelajar universiti tertua ini begitu rendah daya intelektualiti dan kefahaman mengenai isu semasa. Daripada membantah tindakan UM mengetatkan keselamatan kerana kehadiran Obama lebih baik bantah kehadiran Obama sendiri. 

Membantah kehadiran Obama, Presiden Amerika Syarikat yang tidak "bercakap serupa bikin" lebih menampakkan idealisme mahasiswa berbanding mempertikaikan kawalan keselamatan ke atas Presiden tersebut. 

Saya bukan peminat Obama mahu pun mana-mana Presiden Amerika Syarikat selain Abraham Lincon. Justeru secara peribadi, saya tidaklah begitu teruja dengan kehadiran Obama. Namun persepektif neutral, kehadiran Obama ke Universiti Malaya merupakan satu penghormatan dan catatan sejarah kepada universiti tertua negara ini. 

Apabila kita mengalu-alukan kedatangan Obama, maka kita perlu tahu bahawa Presiden Amerika Syarikat ini berada dalam senarai teratas manusia berisiko tinggi berhadapan ancaman pengganas di dunia ini. Justeru soal keselamatan Obama bukan bahan mainan anak-anak mentah di Universiti Malaya. 

Justeru itu, tindakan PMUM melalui Setiausaha Agungnya, Fahmi Zainol, mendakwa pihak kampus "keterlaluan" dalam menyambut lawatan Presiden Amerika Syarikat itu ke universiti tersebut Ahad ini mencerminkan kerendahan akal budi mahasiswa UM hari ini. 

Menurut Fahmi pihak kampus akan menutup empat daripada lima pintu pagar dari laluan pelajar, hanya satu pintu akan dibuka kepada pelajar iaitu pintu Damansara yang menurutnya terletak jauh dari kampus. Menurut Fahmi, notis yang baru diterima semalam mengenainya adalah terlalu lewat bagi memaklumkan perkara penting sedemikian. 

"Pihak kampus terlalu sensitif terhadap kedatangan Obama ini," katanya dalam sidang media di Masjid Negara. 

"Tak perlu menutup semua pintu menyusahkan pelajar itu sendiri. "Kita bantah terhadap kawalan keselamatan Universiti Malaya yang ketat dan tidak mesra pelajar. Lawatan beliau (Obama) cukup bagus untuk berdialog dengan pemimpin muda. Kawalan keselamatan terlalu ketat menyebabkan kesukaran kepada pelajar," tambahnya. 

Bahkan, katanya, beberapa program yang telah dirangka oleh mahasiswa terpaksa dibekukan mengakibatkan mereka menanggung kerugian. Hakikatnya, Obama hanya datang pada Ahad ini, kawalan keselamatan seperti itu hanya bermula hari sabtu dan ahad yang bukan hari kuliah. 

Justeru ia bukan isu besar. Jika isu besar pun, kita perlulah bertolak ansur, dalam acara sebesar ini. Di sesetengah tempat orang sanggup membayar berjuta untuk membawa Obama hadir dalam program mereka. Di negara ini ada pimpinan mahasiswa berfikiran cetek membuat kenyataan akhbar memalukan universiti dan alumni. 

Alangkah hebatnya jika pemimpin mahasiswa UM membuatn kenyataan menuntut Obama menjelaskan isu-isu besar seperti, "Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)", konflik di Sudan, Iraq dan Timur Tengah lain yang menampakkan campur tangan Amerika Syarikat atau sekurang-kurangya menuntut Obama menjelaskan kehadiran pengkalan tentera negara tersebut di rantau ini. 

Malangnya, seorang pimpinan pelajar membuat kenyataan bodoh seperti ini telah disiarkan dalam Malaysiakini dan di baca di seluruh dunia. Ia sekadar menggambarkan masalah pemikiran yang teruk di Universiti Malaya pada hari ini. Petikan MyKMU


No comments: