Hiasan
SELAMA dua minggu lepas saya bersama isteri berada di Madinah dan Makkah mengerjakan umrah.
Kami merasa sangat gembira mendapat peluang beribadat di sana setelah lebih setahun tidak mengunjungi Kaabah Baitullah dan Makam Rasulullah SAW di Madinah sewaktu memulakan perjalanan kami juga merasa lega sedikit kerana dapat melepaskan diri daripada cengkaman jerebu yang semakin menjadi-jadi menyelubungi Kuala Lumpur.
Namun rupa-rupanya kelegaan jerebu hanya sementara kerana Madinah, dan terutama Makkah, diselubungi jerebu habuk bawaan ribut pasir halus yang buat beberapa hari turut mengaburkan suasana.
Akibatnya, ramai jemaah umrah yang batuk-batuk, sesak nafas, selesema dan demam panas kerana cuaca panas dan suhu sangat tinggi.
Tambahan pula di Makkah, jerebu pasir telah menambah-burukkan lagi udara kota Makkah yang sememangnya berdebu dan berhabuk berpunca daripada kerja-kerja pembinaan yang sangat pesat berlaku.
Simbol transformasi umat
Sesiapa yang berulang kali mengunjungi Makkah dan Madinah kebelakangan ini pasti dapat melihat sendiri perubahan dan transformasi besar yang berlaku di sana.
Mereka yang pertama kali atau jarang-jarang datang pasti akan terperanjat melihat imej atau gambaran Kaabah dan Masjid Haram di Makkah yang sangat jauh bezanya berbanding dengan imej Kaabah yang biasa kita kenali atau lihat dari foto lama, juga dalam lukisan pada sejadah atau gambar hiasan lain.
Kaabah yang selama ini lekat di mata hati umat Islam sebagai kiblat yang berada di tengah-tengah kawasan lapang Masjid Haram Makkah semakin hilang suasana kelapangannya, terutama setelah dikelilingi struktur binaan baharu untuk tawaf bertingkat.
Imej dan gambaran pergerakan pusingan manusia secara penuh teratur dan sehaluan bertawaf mengelilingi kawasan lapang yang luas di sekeliling Kaabah telah berubah buat selama-lamanya.
Demikian juga, menara-menara kren pembangunan kini dilihat mendominasi langit latar Kaabah, sehingga kecantikan dan keunikan menara-menara asal Masjid Haram, terutama pada waktu sunyi malam, tidak lagi menjadi ikon utama yang lekat dalam ingatan.
Sekalipun sementara, menara kren ini pasti akan digantikan nanti dengan menara baharu bangunan pencakar langit mendominasi langit latar Kaabah dan kota Makkah.
Pada saya, sedikit sebanyak, kita semua pasti berasa kehilangan sesuatu, khasnya kecantikan, keunikan dan kegemilangan asal Masjid Haram yang kita kenali selama ini.
Tidak hairan juga jika ramai yang berasa struktur baharu untuk tawaf bertingkat mencolok mata dan mencemar pandangan suasana ketenangan dan kedamaian sekeliling Kaabah yang biasa kita semua kenali.
Namun, saya yakin semua memahami perubahan ini terpaksa umat Islam terima dan lalui, sebagai hakikat pembaharuan dan satu realiti pembangunan.
Lebih Barat daripada Barat?
Umat Islam hari ini antara umat paling pesat berkembang di dunia dengan jumlah mencecah 1.6 bilion jiwa. Dalam tempoh dua-tiga dekad mendatang diunjurkan umat Islam mendominasi jumlah penduduk dunia.
Ini berlaku khasnya dalam konteks bangsa Eropah, Jepun dan China menjadi bangsa yang semakin tua, dengan lebih ramai penduduk melebihi umur 50 tahun.
Kesannya, umat Islam juga dijangka membawa impak besar di beberapa negara Barat, khasnya di Eropah seperti di Britain, Perancis dan Germany.
Dalam sistem demokrasi amalan Barat, jumlah penduduk besar akan turut mempengaruhi dasar dan mencorak\ masa depan kehidupan masyarakat.
Persoalannya: Ke arah mana? Tidakkah umat Islam dilihat seolaholah menjadi lebih Barat daripada Barat? Persoalan ini berbangkit kerana ramai dalam kalangan umat melihat pembangunan di sekeliling Kaabah sebagai petanda kepada perubahan peranan umat dalam kehidupan masa depan dunia amnya.
Saya adalah antara golongan yang bimbang dan khuatir atas trend ini. Tidakkah pembangunan pesat dan pembaharuan yang berlaku atas nama kemajuan ekonomi, akan turut mencemar dan merosakkan kehidupan umat nanti?
Jika ramai dalam kalangan masyarakat Barat mendapati kehidupan mereka dirosakkan sistem ekonomi liberal dan materialistik, tidakkah penyakit sama sedang menjangkiti umat Islam di seluruh dunia?
Kita juga lihat di sekitar kawasan kota Makkah paling hampir dengan Kaabah kini dikelilingi beberapa bangunan baharu menara pencakar langit, hotelhotel mewah dan gedung beli belah besar.
Kepesatan pembangunannya seolah-olah menjejaki dan menyaingi pembangunan di kota-kota terkenal lain di dunia Barat dan Timur.
Beberapa hotel berjenama terkenal mewah taraf dunia turut hadir berhampiran Kaabah, antaranya mengenakan kadar sewa tinggi dengan kemudahan dan khidmat bergaya Barat yang jelas dapat dihuni dan dinikmati cuma oleh pengunjung kaya dan golongan berpendapatan tinggi.
Alhamdulillah, pada yang berada dan mampu, semua kemudahan ini menjadikan kerja ibadah haji dan umrah lebih senang, selesa dan sempurna.
Namun, bagaimana pula nasib warga Islam miskin dan tidak mampu membiayai perbelanjaan tinggi? Apakah pembaharuan dan pembangunan akan hanya mengakibatkan diskriminasi ekonomi, mengetepi, menindas dan menzalimi golongan miskin, sesuatu yang tidak disenangi malah ditentang oleh Islam?
Apa yang merisaukan, semakin banyak kita dengar rungutan dan kebimbangan hati para Jemaah haji dan umrah melihat lampu-lampu neon dan iklan menonjolkan jenama produk global mewah milik Barat, termasuk makanan segera Barat yang rata-rata terkenal mengancam kesihatan dan menyebabkan meluasnya penyakit obesiti.
Tidakkah obesiti dan kegemukan semakin menjadi-jadi dalam kalangan umat Islam hari ini? Tidakkah kita sedang saksikan gaya hidup konsumerisme mewah mengancam kesejahteraan umat, sama ada di peringkat individu, mahu pun sebagai satu masyarakat?
Kembali kepada asas Islam
Dalam hal ini umat Islam wajar memperingati semula anjuran al-Quran supaya kita tidak hanya “menurut kehendak orang kafir” dan sebaliknya berjuang “dengan perjuangan yang besar (bersungguh-sungguh), iaitu perjuangan bertaraf “jihadan kabira”. (Surah Al Furqan, 25:52).
Sebenarnya saya masih optimis. Memerhatikan pembangunan di sekeliling Kaabah, saya juga nampak usaha untuk menyempurnakan matlamat jihad besar ini.
Antara paling ketara ialah terpampang jelas pada kompleks Menara Zamzam, iaitu kompleks paling besar mendominasi dan mengatasi semua yang lain, dengan ikon utamanya menara jam besar, dilaporkan sebagai jam terbesar di dunia.
Saya optimis kerana Menara Zamzam dibangunkan atas dasar “Waqaf Raja Abdulaziz al Haramin al Sharifin”. Ini bermakna kompleks besar Menara Zamzam milik wakaf, satu institusi agung warisan Islam. Sekali pun andainya wakaf ini berciri wakaf ahli milik keluarga Raja Abdulaziz, manfaat wakafnya tetap menjamin ada bahagian yang dinikmati masyarakat Islam amnya.
Saya juga yakin pasti ada bahagian yang disumbang oleh Waqaf Raja Abdulaziz kepada usaha memakmurkan Masjid Haram. Paling penting, hak milik harta wakaf seperti
Menara Zamzam ini bukan lagi milik peribadi, keluarga atau swasta, malah menjadi milik ALLAH SWT.
Pembangunan wakaf seperti ini wajar dicontohi semua negara Islam, termasuk Malaysia. Saya percaya konsep Waqaf Menara Zamzam tidak jauh bezanya dengan institusi Waqaf Korporat seumpama penubuhan Waqaf An Nur Corporation Bhd (WANCorp) di Johor pada 2006.
Kesimpulannya, seperti biasa dalam kehidupan di dunia, pembaharuan yang kita alami dan perubahan yang kita lalui umumnya mengandungi kedua-dua ciri baik dan juga potensi buruknya sekali.
Cabarannya, bagaimana kita dapat gunakan kebijaksanaan dan hikmah menentukan pada akhirnya segala yang baik dapat mengatasi segala yang merosakkan.
Apa pun, kita tidak perlu mengejar Barat bertujuan mengatasi Barat. Yang diperlukan ialah secara kreatif mengakar kembali segala pembaharuan supaya tidak lari daripada prinsip dan landasan diasaskan Islam. Pada akhirnya, cuma dengan cara Islam kita dapat memperbaiki kerosakan, mendahului Barat bertujuan membawa sebanyak kebaikan dan manfaat kepada manusia dan kehidupan.
No comments:
Post a Comment