Monday 24 March 2014

#MH370 - MISTERI KEHILANGAN YANG MENDEDAHKAN KELEMAHAN SATELIT


WASHINGTON – Kehilangan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) bukan sahaja menimbulkan misteri dalam sejarah penerbangan tetapi turut mendedahkan batasan dan kemampuan sistem satelit, lapor Washington Post kelmarin.

Sebelum ini, beberapa pengendali satelit memberitahu bahawa satelit mereka mempunyai teknologi yang sangat canggih sehingga mampu merakamkan nombor pendaftaran sesebuah kenderaan dari orbit Bumi.

Namun, dalam kes kehilangan pesawat MH370, kelemahan dan had teknologi satelit mula terserlah apabila gagal mengesan sebuah kapal terbang yang besar.

Beberapa pakar berkata, kelemahan dan had teknologi sesebuah satelit ini berkait rapat dengan faktor fizikal, kewangan dan kegunaannya sendiri.

Satelit tentera dan komersial jarang memantau serta menganalisis ruang muka bumi yang jarang dilalui seperti kawasan terpencil di Lautan Hindi yang dipercayai menjadi laluan pesawat MH370.

Tinjauan permukaan bumi memerlukan lensa kamera satelit merakam imej pada sudut yang luas manakala tumpuan pada sesuatu objek memerlukan fokus yang berbeza.


Sesebuah satelit, kata mereka, tidak boleh melakukan kedua-dua fungsi secara serentak.

Satelit pengintip yang paling canggih biasanya mempunyai lensa kamera untuk merakamkan sesuatu imej dengan terperinci.

“Ia umpama menggunakan teropong ketika menaiki kereta pada kelajuan 100 kilometer sejam dan cuba melihat setiap peti surat di sepanjang jalan.

“Begitu juga satelit kerana anda tidak dapat menfokuskan teropong anda dengan cepat untuk melihat semua peti surat itu,” kata penasihat teknikal Yayasan Keselamatan Dunia, Brian Weeden.

Yayasan Keselamatan Dunia merupakan sebuah badan bukan perniagaan yang menumpukan kepada dasar-dasar angkasa lepas.

Ketika ini, teknologi satelit masih belum terbukti kejayaannya dalam menyelesaikan kes kehilangan pesawat MH370 sejak 8 Mac lalu.

Para pegawai Australia kelmarin mendakwa dua buah objek yang dirakam satelit di sebuah lokasi terpencil di Lautan Hindi kemungkinan serpihan pesawat tersebut.

Imej itu dirakam pada 16 Mac lalu oleh satelit WorldView-2 yang merupakan sebuah satelit komersial yang mengelilingi bumi pada ketinggian 770 kilometer.

Namun, objek itu masih kabur dan terdapat kemungkinan imej yang dirakam adalah objek lain dan bukan serpihan MH370 atau pantulan cahaya di permukaan laut.

Sehingga kini objek yang salah satunya sepanjang 24 meter itu gagal dikesan oleh satelit lain dan juga pesawat tentera yang dihantar ke lokasi itu di Lautan Hindi.

Sementara itu, syarikat DigitalGlobe yang merupakan pemilik satelit WorldView-2 berkata, tempoh masa agak lama untuk imej itu dikeluarkan kerana ia perlu meneliti terlalu banyak data.

“Jumlah imej yang terlalu banyak di Bumi meyukarkan untuk menumpukan kepada sesuatu objek secara masa sebenar,” kata syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu.

DigitalGlobe juga menggunakan anak syarikatnya, Tomnod untuk menjalankan satu carian umum melibatkan tiga juta sukarelawan yang meneliti imej satelit bagi mencari pesawat tersebut, lapor Agensi. 

No comments: