PKR dilihat berjaya mendapat kemenangan lebih besar dalam PRK DUN Kajang apabila berjaya meningkatkan peratusan undinya, walaupun majoritinya kurang berbanding PRU13 yang lalu di samping berjaya menembusi kubu kuat UMNO di kawasan majoriti Melayu.
Dalam PRK Kajang,Wan Azizah Wan Ismail berjaya meningkatkan jumlah undinya kepada 59.43% berbanding 57.99% daripada jumlah undi keseluruhan PRU13 lalu. Calon PKR Dr Wan Azizah menang dengan majoriti 5,379 berbanding 6,824 yang dimenangi penyandang kerusi Lee Chin Cheh dalam PRU13 lalu, kurang 1,445 undi.
Dua daripada empat kawasan Melayu iaitu Sungai Sekamat dan Taman Delima berjaya dimenangi calon PKR, manakala majoriti kemenangan BN di Sungai Kantan dan Batu 10 Cheras berjaya dikurangkan. Dalam PRU13, calon PKR, Lee mendapat 57.99% undi iaitu 19,571 undi daripada 33,749 undi yang dibuang semasa pilihan raya itu.
Dalam PRK kali ini, Dr Wan Azizah mendapat 16,741 undi manakala calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun mendapat 11,362 undi. Peratusan keluar mengundi hanya 72% kali ini, jatuh 16% berbanding 88% pada PRU13 lalu. Chew mendakwa, beliau berjaya menaikkan peratusan undi Cina daripada 18% dalam PRU13 kepada 24.8% dalam PRK kali ini. Namun begitu, Dr Wan Azizah berjaya meningkatkan undinya di kawasan Melayu di samping kawasan pengundi muda.
Dalam PRU13 lalu, calon BN menang 420 undi di Sungai Kantan namun kali ini hanya menang dengan majoriti 225 sahaja. Di Sungai Sekamat dan Taman Delima, dua lagi daerah mengundi majoriti Melayu, PKR berjaya memenangi kawasan yang selama ini menjadi kubu UMNO itu. Di Sungai Sekamat, PKR menang 45 undi berbanding kalah 239 undi dalam PRU13 lalu.
Di Taman Delima pula, PKR menang tiga undi berbanding kalah 123 undi dalam PRU13 lalu. Di Batu 10 Cheras, majoriti BN berjaya dikurangkan kepada 151 undi sahaja. "BN kalah hampir kesemua saluran pengundi anak muda," kata Mohamad Hisomuddin Bakar, Pengerusi Eksekutif Ilham Center. Ia diakui sendiri oleh Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan berjanji akan bekerja keras untuk mendapatkannya kembali.
Walaupun jangkaan bahawa Wan Azizah akan meningkatkan majoriti 1,000 undi lagi kali ini tidak tepat ekoran kurangnya jumlah keluar mengundi, Hisomuddin berkata, segala data yang diperolehi oleh Ilham Center tepat dan penyelidik beliau mendapat sampel yang tepat.
Bagi pensyarah kanan Universiti Pengurusan Singapura, Dr Bridget Welsh, ini adalah kemenangan PKR yang perlu dihormati."Ia berlaku ketika pilihan raya ini dibayangi kes kehilangan MH370," kata Welsh yang berada di Kajang sejak beberapa hari lalu.
Menurutnya, kemenangan ini juga berjaya dicapai ketika keyakinan jentera PKR bahawa mereka akan menang begitu tinggi. "Kempen ini juga berlaku dalam suasana yang memenatkan dan tidak memberikan motivasi untuk meningkatkan jumlah keluar mengundi," kata Welsh. "Saya perlu melihat keputusan sepenuhnya sebelum membuat ulasan lanjut tetapi nampak jelas undi Melayu meningkat untuk pembangkang".
No comments:
Post a Comment