Monday, 31 March 2014

#MH370 - PERDANA MENTERI AUSTRALIA AKUI KENYATAAN NAJIB MENGENAI KEHILANGAN PESAWAT ADALAH BENAR



Perdana Menteri Australia, Tony Abbot berkata semua bukti yang ada ketika ini menjurus kepada kesimpulan yang pesawat Penerbangan Malaysia, (MAS) MH370 telah hilang di Lautan Hindi, sambil mempertahankan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebelum ini.

Pesawat yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu hilang pada 8 Mac lalu bersama 239 penumpang dan anak kapal, namun selepas tiga minggu, tiada serpihannya ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Ramai anggota keluarga yang terbabit sukar menerima hakikat yang kesimpulan itu dibuat berdasarkan data satelit seperti yang diumumkan Najib pada 24 Mac lalu.

Abbott yang dipetik dari agensi berita AFP, bagaimanapun bersetuju dengan kesimpulan yang dibuat oleh Najib.

"Dari bukti yang telah dikumpul ia menjurus kepada kesimpulan yang pesawat (MH370) hilang di Lautan Hindi,” katanya kepada wartawan di pangkalan tentera Australia di Perth.

“Banyak bukti yang telah diterima dan saya berpendapat Najib Razak berhak kepada pandangannya yang membuat kesimpulan itu, adalah haknya untuk memakklumkan perkara itu kepada orang ramai.”

Australia ketika ini sedang mengkoordinasi operasi pencarian pelbagai negara Boeing 777 itu yang membabitkan 100 petugas dan lebih seribu anak kapal, di kawasan pencarian ke barat Perth.

“Ini adalah satu tugas sukar. Kita sedang mencari di kawasan laut yang luas. Ini dilakukan dengan maklumat yang terhad,” kata Abbott.

"Namun begitu, minda terbaik dunia sedang melaksanakan tugas ini, semua kecanggihan teknologi diguna dan dibawa ke sana (kawasan pencarian). Sekiranya misteri boleh dirungkai, kita akan lakukan. Saya bagaimanapun enggan memandang rendah betapa sukarnya tugas ini.”

Abbott juga berkata dia enggan memberikan had masa untuk pencarian itu.

“Kita akan teruskan pencarian. Meningkatkan usaha dan bukan mengurangkannya.”

“Kita terhutang (penjelasan) kepada ahli keluarga, mereka yang menggunakan pesawat, kepada kerajaan dimana warga mereka berada di dalam pesawat (MH370), kita terhutang kepada dunia yang mahukan penjelasan kepada misteri yang telah menyelubungi selama tiga minggu,” katanya lagi.

“Kita terhutang kepada semua untuk melakukan apa yang terdaya.” - AstroAwani

No comments: