KUCHING -Timbalan Presiden, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Tun Openg enggan diseretkan dalam spekulasi bahawa beliau antara pemimpin parti itu yang bakal menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Presiden PBB dan Ketua Menteri Sarawak.
Beliau mengesahkan satu mesyuarat khas majlis tertinggi PBB akan diadakan pada Sabtu ini, namun enggan mengulas sama ada Abdul Taib akan mengumumkan keputusannya untuk bersara pada mesyuarat itu.
“Anda yang cakap (mengenai persaraan Abdul Taib) sebagai spekulasi. Saya tidak boleh ulas spekulasi itu,” katanya kepada pemberita ketika ditanya laporan muka hadapan akhbar Berita Harian bahawa Abdul Taib akan mengumumkan persaraannya sebagai Ketua Menteri sebelum penghujung minggu ini.
Laporan itu, yang memetik sumber, menyatakan Abdul Taib, 78, yang menyandang jawatan itu sejak 1981, juga akan bertemu semua wakil rakyat Barisan Nasional negeri pada Ahad ini.
Selain Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan Sarawak dan Menteri Perumahan Sarawak, turut diuar-uarkan menggantikan Abdul Taib ialah Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak, Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Effendi Norwawi.
SUMBER – BERNAMA
2 comments:
Blom lagi tu mungkin spekulasi je tu
Dah lama jwtn tu..elok juga berundur..
Post a Comment