PETALING JAYA 15 Feb.- Sekumpulan profesional Cina hari ini mengecam video kontroversi 'Onederful Malaysia' terbitan Ahli Parlimen Seputeh dari DAP, Teresa Kok kerana didakwa mengandungi elemen-elemen memudaratkan masyarakat.
Anggota profesional, Pertubuhan Psikologi Amerika, Dr. Wong Kok Fye mendakwa video tersebut yang memaparkan watak lelaki berpakaian wanita dan lelaki lembut juga boleh dianggap mempersendakan golongan transeksual.
"Saya berpendapat bahawa kandungan video ini mengandungi banyak elemen keganasan yang boleh membawa kesan sosio psikologi kepada masyarakat.
"Kanak-kanak yang tidak mempunyai latar belakang politik danapabila menonton video ini merasakan bahawa tidak mengapa untuk menjadikan golongan transeksual sebagai bahan lawak jenaka," kata Kok Fye.
Tegas Kok Fye, ahli politik yang terlibat dalam penerbitan video itu bukan sahaja tidak membantu keadaan sosial negara tetapi menjadikan situasi lebih buruk.
Pengamal pendidikan, Loh Wei Jing pula berkata, video Teresa merosakkan suasana Sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini.
"Video ini memberikan tangapan salah masyarakat lain kepada kaum Cina seolah-olah menghina dan mempersendakan pemimpin dan negara adalah tradisi masyarakat Cina.
"Kalau video ini diterbitkan pada masa pilihan raya dan bersifat propaganda murahan kita boleh terima. Tetapi video ini diterbitkan semasa Tahun Baharu Cina. Tidak bolehkan kita bersalaman, makan dan meraikannya," tegas Wei Jing.
Wei Jing juga berkata, video Teresa tidak menepati semangat Rukun Negara.
Sementara itu, Ryan Ng Chua Yie seorang peguam berkata, Teresa sebagai wakil rakyat seharusnya tampil sebagai model contoh atau 'role model.'
"Sepatutnya Teresa menerbitkan video mengenai apa yang beliau telah lakukan untuk negara sejak setahun lalu. Apakah matlamat beliau untuk masa depan. Itu yang rakyat mahu lihat.
"Harapan masyarakat kepada wakil rakyat adalah tinggi. Kita mahu semua wakil rakyat tidak terlibat dalam tindakan yang boleh mencetuskan kontroversi dalam negara yang pelbagai kaum dan agama," kata Chun Yie.
Sementara itu, pelatih korporat, Phoenix Low Kai Lay berkata, video Teresa menyebarkan suasana negatif dalam negara.
"Sepatutnya sebagai wakil rakyat kita harus mengingatkan bagaimana untuk saling membantu dan menerapkan perpaduan dalam kalangan rakyat.
Bagi aktivis masyarakat, Alex Lee Keat Lay, Teresa boleh dianggap sebagai mementingkan diri dan lupa tanggungjawab.
"Video ini memang tidak sihat. Pelakon dalam video ini juga nampaknya tidak berani untuk mengakui kesilapan mereka.
"Kalau berani buat mereka juga perlu berani mengakui kesilapan dan meminta maaf," tegas Keat Lay.
Kumpulan Profesional Cini ini bagaimanapun yakin Teresa tidak akan meminta maaf kepada masyarakat walaupun video tersebut daripada segi moral adalah salah.
Mereka juga berpandangan bahawa kerajaan dalam keadaan dilema untuk mengambil tindakan ke atas Teresa.
"Jika kerajaan mengambil tindakan undang-undang segelintir rakyat akan berkata, kerajaan menekan pembangkang dan tidak ada kebebasan hak asasi.
"Tetapi jika kerajaan tidak mengambil tindakan perbuatan seperti ini akan berterusan di masa hadapan," kata Kok Fye.- UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment