Thursday 27 February 2014

( FOTO ) - HARI TERAKHIR TAIB MAHMUD SEBAGAI KETUA MENTERI SARAWAK


Biarpun cuaca indah dengan matahari bersinar di Bandaraya Kuching tengahari tadi namun suasana kesedihan dan muram seolah-olah menyelubungi warga Wisma Bapa Malaysia bagaikan mengetahui ianya adalah hari terakhir Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud bertugas secara rasmi di pejabatnya.


Beratus-ratus kakitangan dan pekerja Wisma Bapa Malaysia, ada yang membawa pelbagai sepanduk penuh dengan ucapan terimakasih beratur di tepi bangunan itu menanti kehadiran.



Ramai daripada mereka, terutamanya golongan wanita bagaikan tidak dapat menahan titisan air mata mereka sebaik sahaja Taib menghampiri dan berjabat tangan dengan mereka buat kali yang terakhir sebagai seorang Ketua Menteri Sarawak.


Taib diiringi oleh isterinya Puan Sri Raghad Kurdi-Taib,  Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Penasihat Ketua Menteri dan pengganti Taib, Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan Satem dan lain-lain orang kenamaan.


Taib meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk bersalaman dengan kakitangan Wisma Bapa Malaysia diikuti dengan sesi fotografi dengan ketua-ketua pelbagai jabatan kerajaan sebelum meninggalkan kawasan bangunan tersebut kira-kira jam 2:15 petang.

Taib , 77, yang juga merupakan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada 12 Februari telah mengumumkan untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri, jawatan yang beliau sandarkan selama lebih dari tiga dekad sejak 1981, berkuatkuasa esok (28 Februari).

Taib juga telah menyerahkan surat peletakan jawatan beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian yang dimenanginya sejak Negeri Pilihan Raya 2011 kepada Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.


Taib dijangka menjadi baru Ketua Negara untuk menggantikan Datuk Tun Abang Haji Muhammad Salahuddin Patinggi bersara esok (28 Februari).

No comments: