Saturday, 22 February 2014

COMANGO DAKWA SEKS BEBAS HALAL SELEPAS KEWAFATAN NABI MUHAMMAD SAW


Salah seorang pemimpin pertubuhan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) mendakwa amalan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) tidak bercanggah dengan Islam.


Dakwaan itu dibuat oleh Angela M. Kuga Thas, pengasas KRYSS (Knowledge and Rights with Young People through Safer Spaces) yang merupakan salah satu NGO LGBT dalam Comango.

Menurutnya, selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, umat Islam sudah bebas berfikir berpandukan akal mereka untuk melakukan apa sahaja yang difikirkan sesuai.

“Islam tidak lagi mempunyai pemimpin selepas Nabi Muhammad sedangkan kami penganut Katolik mempunyai Paus.

“Memandangkan anda tidak lagi mempunyai pemimpin selepas Nabi Muhammad, ia bermakna anda boleh berfikir secara bebas,” katanya dalam sidang akhbar Comango di pejabat Dignity International, Petaling Jaya semalam.

Ketika ditanya tentang tuntutan Comango termasuk pengiktirafan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender yang bercanggah dengan hukum Islam seperti yang terkandung di dalam al-Quran, Angela memberitahu, terdapat perbezaan antara dosa dan jenayah.

“Apa yang salah dari segi moral tidak bermakna salah dari segi jenayah,” ujarnya.

Beliau turut mempertahankan laporan Comango yang dibentangkan pada proses semakan berkala sejagat (UPR) ke atas Malaysia di hadapan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai selari dengan Islam.

Angela menurut laman PowerShiftMsia merupakan pejuang feminis hak asasi manusia yang pernah melakukan penyelidikan tentang lesbian di Malaysia.

PowerShiftMsia adalah perkumpulan NGO hak asasi manusia yang dipercayai digerakkan oleh Elizabeth Wong, Exco Pelancongan, Hal Ehwal pengguna dan Alam Sekitar, Kerajaan Negeri Selangor.

Selain Angela, beberapa orang aktivis Comango lain lagi hadir dalam sidang media termasuk Yap Swee Seng (SUARAM), Jerald Joseph (KOMAS) dan Irene Fernandez (TENAGANITA).

Jurucakap Comango, Honey Tan Lay Ean berkata pihaknya menolak tuntutan Comango dilihat dari sudut agama, sebaliknya ia harus dinilai dari sudut hak asasi manusia.

Sidang media itu diadakan sebagai respon terhadap keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang menegaskan tuntutan yang dibuat Comango bertentangan dengan syariat Islam dan bakal menghancurkan negara.

Pengerusinya Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dalam satu kenyataan berkata jawatankuasa fatwa menentang tuntutan itu kerana selain bercanggah dengan syariat Islam, ia juga bertentangan dengan undang-undang dan Perlembagaan negara serta norma-norma antarabangsa.

“(Tuntutan itu) akan mencetuskan huru-hara kepada masyarakat dan negara serta mampu meruntuhkan pegangan dan cara hidup umat Islam di Malaysia”, katanya.

Justeru, jawatankuasa fatwa berkenaan menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap Comango yang dilihat satu gerakan yang cuba menghancurkan kedaulatan Islam di negara ini.

“(Tuntutan itu) akan mencetuskan huru-hara kepada masyarakat dan negara serta mampu meruntuhkan pegangan dan cara hidup umat Islam di Malaysia”, katanya.

Comango sebelum ini menuntut beberapa perkara merangkumi hak kebebasan orientasi seks, lesbian, gay, biseksual dan transgender.

Selain menyentuh isu hak asasi manusia, pertubuhan itu turut menuntut hak kebebasan murtad bagi orang Islam, hak kesamarataan agama serta mempersoal kes penggunaan kalimah Allah dan ajaran Syiah.

Abdul Shukor turut mengingatkan umat Islam di negara ini untuk bersatu padu dalam menangani isu berkenaan tanpa memikirkan fahaman politik masing-masing demi mempertahankan kesucian agama Islam dan meminta umat Islam yang terlibat dalam pertubuhan itu untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Comango yang ditubuhkan pada 8 September 2008 telah menghantar laporan pertamanya kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan mendakwa Malaysia mendisriminasi kumpulan LGBT dengan mengenakan tindakan undang-undang berkaitan dengan aktiviti liwat dan tidak senonoh.

sumber : AIDC

1 comment:

vmc master said...

This Is What Women Really Want !! => KLIK HERE !!