Teka-teki samada bertanding atau tidak dan siapa calon BN berdepan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam pilihanraya kecil DUN Kajang Mac ini terjawab selepas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun akan mewakili BN.
Muhyiddin berkata Chew, yang berasal dari Selangor, menjadi pilihan kerana beliau seorang yang berwibawa, mempunyai pengalaman luas serta sudah biasa berurusan dengan kerajaan persekutuan.
"Strategi kita pastilah mencapai kemenangan. Walaupun kita tahu akan berhadapan dengan tentangan yang hebat daripada Pakatan Rakyat atau lain-lain pihak tapi kita anggap ini suatu peluang untuk BN tawarkan seorang calon.
"Calon BN yang dipilih ini, saya kira berwibawa, berpengalaman, (dan) pernah berada dalam kerajaan, (serta) menjawat jawatan sebagai naib presiden MCA," katanya.
Menurutnya lagi, BN berpegang pada prinsip kekosongan mesti diisi dan kerana DUN Kajang merupakan kerusi MCA selepas mengambil kira pandangan berbagai pihak termasuk pengundi Kajang, BN buat keputusan meletakkan Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai calon mereka.
"BN akan atur gerak kerja dengan tumpuan semua parti komponen BN akan pergi ke setiap Pusat Daerah Mengundi," katanya.Menjawab soalan mengapa BN mengambil masa yang lama untuk mengumumkan calon, kata Muhyiddin, amalan biasa yang diguna pakai BN sebelum ini pengumuman calon dibuat dua hari sebelum penamaan calon, tapi ini dua minggu, maknanya jauh lebih awal.
Jelas Pengarah Pilihanraya BN Pusat itu lagi, BN akan menggunakan peluang berkempen di DUN Kajang untuk menjelaskan kepada rakyat isu-isu yang diputar belit pembangkang.
Chew, 50 adalah bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utama, Senator, Ketua Wanita MCA dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Beliau dikenang selepas meletak jawatan dalam parti dan kerajaan kerana tidak bersetuju dengan bekas Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menjadi pemimpin utama parti Cina terbesar itu pada 2010. Alasannya Soi Lek ada skandal video lucah.
Chew membuat kemunculan semula selepas berehat selama tiga tahun apabila memenangi salah satu daripada empat kerusi Naib Presiden pada pemilihan parti itu 21 Disember tahun lalu.
Kerusi DUN Kajang kosong berikutan peletakan jawatan Lee Chin Cheh bagi membuka jalan kepada Anwar untuk bertanding dalam PRK itu.
No comments:
Post a Comment