Wednesday, 22 January 2014

( VIDEO ) - PEGUAM SAHKAN ANWAR PERNAH MERINGKUK DALAM PENJARA



“Memang benar Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah bekas banduan,” kata peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz ketika dihubungi hari ini.
Menjelaskan lanjut, Khairul Azam berkata Anwar pernah dijatuhi hukuman penjara selama 6 tahun kerana menyalahgunakan kuasa ketika berjawatan Timbalan Perdana Menteri sekitar tahun 1990-an.
“Kes pertama (Salah guna kuasa) mula dibicarakan pada 2 November 1998 di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk S. Augustine Paul.
“Pada 14 April 1999, mahkamah memutuskan Anwar bersalah dan dijatuhi hukuman 6 tahun penjara.
“Dalam kes itu, Anwar merayu sehingga ke peringkat Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke peringkat Mahkamah Persekutuan namun gagal di semua peringkat,”katanya.
Khairul Azam berkata ramai generasi muda hari ini keliru tentang status Anwar, ekoran dibebaskan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2004.
Menurutnya Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan hanya dalam kes liwat I, namun dalam kes salah guna kuasa Anwar adalah pesalah dan keputusan mahkamah itu gagal dicabar beliau.
Kerana kesalahan salah guna kuasa itu, Anwar telah dipenjarakan di Sungai Buloh dan berstatus ‘bekas banduan’ apabila dibebaskan pada 2 September 2004.
Ketika ditanya status bekas banduan faktor Anwar dihalang memasuki negara Jepun, Khairul Azam berkata itu adalah hak negara tersebut mengadakan peraturan sedemikian.
“Itu hak negara berkenaan menguatkuasakan apa-apa kawalan imigresen untuk membenar atau menyekat bukan warganegara memasuki negara itu,”katanya.
Jurucakap kedutaan Jepun, Tomoko Nagai dilaporkan The Star hari ini berkata, Anwar dilarang memasuki Jepun pada Ahad kerana melakukan kesalahan dan pernah dipenjara pada tahun 1999.
Menurutnya, sesiapa sahaja yang pernah melakukan kesalahan dan menjalani hukuman penjara sama ada di Jepun atau negara lain tidak dibenarkan memasuki negara itu.
“Seperti yang diketahui, Anwar pernah dibenarkan memasuki Jepun pada 2011 dan 2012 tetapi ketika itu beliau mempunyai kebenaran khas daripada negara berkenaan.
“Bagaimanapun, kali ini beliau tidak membuat permintaan dan berikutan itu kemasukannya tidak dapat diterima,” katanya ketika dihubungi The Star pada Selasa.
Nagai memberitahu, tindakan itu mengikut larangan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Jepun di bawah Perkara 5 (iv), Akta Pengiktirafan Pelarian dan Kawalan Imigresen yang dikenakan terhadap semua individu yang ingin memasuki negara berkenaan.
Pada Ahad, Anwar tidak dibenarkan memasuki Jepun selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada pukul 6.45 pagi.
Beliau dikenakan tindakan pengusiran oleh imigresen negara itu.



AIDCNews  –  21/1/14  

No comments: