Klang : Sembilan tahun lalu, perwatakannya seperti ustaz yang mahir selok-belok agama, menambat hati seorang wanita di sini, yang kemudian berkahwin dengannya, tetapi malang kerana beberapa tahun kemudian, dia menjadi mangsa belasahan lelaki berusia 39 tahun itu yang berubah menjadi panas baran sehingga sering memukulnya walaupun hanya disebabkan perselisihan faham kecil.
Selain memukul, lelaki yang mendapat taraf sebagai penduduk tetap (PR) di negara ini juga sering mengugut isterinya bahawa wanita itu 'disumbat' ke dalam neraka jika tidak mendengar kata dan arahannya dan keadaan bertambah buruk selepas lelaki berkenaan berkahwin seorang lagi dua tahun lalu.
Itu liku kehidupan yang terpaksa ditempuh seorang wanita dikenali sebagai Salma, 35, juga wanita asing yang mendapat taraf PR, yang mendakwa sering menjadi mangsa belasahan suaminya sejak 2008.
Menurutnya, impian bersuamikan lelaki berpengetahuan agama bagi membimbing diri dan anaknya, kini hanya tinggal kenangan apabila sikap suaminya berubah sepenuhnya.
Saya akan dipukul jika tidak mendengar arahannya selain sering diugut kononnya saya akan masuk neraka jika ingkar dengan apa dimahukan suami.
Tidak mahu diri terus dijadikan sasaran suami melepaskan kemarahan, saya hanya berdiam diri walaupun tidak sanggup menanggung kesakitan akibat perbuatannya. Namun, saya bersyukur kerana suami tidak pernah memukul anak, tetapi sikapnya itu membuatkan anak takut setiap kali dia bersuara,” katanya yang ditemui di sini, semalam.
Menurutnya, antara kejadian tidak dapat dilupakan, suaminya itu memukul kakinya dengan objek keras hanya kerana dia mahu melawat mentuanya yang tinggal tidak jauh dari rumahnya.
Akibat tindakan suaminya itu beberapa tahun lalu, kaki kanan Salma membengkak sehingga dia sukar berjalan beberapa minggu. Terbaru, dia dipukul minggu lalu kerana enggan membuka pintu rumah, tempatnya tinggal sekarang di sebuah kampung di daerah ini, berikutan mereka dalam proses bercerai.
Suami datang dan memaksa saya membuka pintu. Sebaik membuka pintu dia membelasah saya sebelum berlalu pergi,” katanya.
Tambahnya, perubahan sikap alim suaminya itu bertambah teruk selepas lelaki itu berkahwin dengan seorang wanita warga asing yang menetap di kawasan perkampungan berhampiran.
Saya tidak sanggup diperlakukan sedemikian kerana suami menjadikan saya sebagai tempat belasahan dan melepaskan geram,” katanya.
Bimbang akan terus dibelasah suami, Salma membuat laporan polis baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop yang mengesahkan pihaknya menerima laporan mangsa dan siasatan sedang dijalankan. myMetro
No comments:
Post a Comment