Wednesday, 11 December 2013

KETUA PENGARAH MKN JAWAB SURAT TERBUKA NUR ADILLA ABD RAHIM


Sejak kebelakangan ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendapati banyak pihak mengambil peluang untuk memberikan pandangan dan tidak kurang juga kritikan berhubung pelaksanaan operasi pengurusan banjir terutama di Pahang dan Terengganu.
Justeru, MKN terpanggil untuk memberikan respon terhadap surat terbuka daripada Nur Adilla Abd Rahim bertajuk Surat terbuka kepada Majlis Keselamatan Negara bagi menjelaskan keadaan sebenar serta menangkis persepsi negatif terhadap jentera pengurusan bencana negara yang dicanang pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda tertentu.
Penulis menyatakan kehairanan beliau terhadap tahap ketidaksiagaan badan-badan kerajaan tertentu sedangkan Malaysia menghadapi situasi banjir saban tahun. Luahan beliau, hanya apabila Ahli Parlimen Kuantan membawa perkara mengenai banjir di Kuantan ke Dewan Rakyat barulah ia mendapat perhatian pemimpin tertinggi negara. Hal ini memperlihatkan bahawasanya kedua-dua penulis dan Ahli Parlimen Kuantan tidak mengikuti perkembangan semasa.
Banjir yang berlaku di Kuantan bermula pada 2 Disember 2013 dan Ahli Parlimen Kuantan hanya membawa perkara ini ke Dewan Rakyat pada 4 Disember 2013. Pada waktu YB Fuziah Salleh mengutarakan usul berkenaan, anggota tindak balas sudah pun beroperasi selama dua hari bagi mengeluarkan mangsa untuk dipindahkan ke pusat pemindahan dan mangsa yang berjaya diselamatkan adalah seramai 13,460 orang di Kuantan sahaja.
Pemindahan seluruh negara setakat jam 12.00 malam 4 Disember 2013 melibatkan 21, 253 mangsa. Sebenarnya, Puan Nur Adilla dalam tulisan ini memberi gambaran bahawa YB Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Kuantan tidak turun ke padang sewaktu banjir mula berlaku serta tidak mengikuti perkembangan banjir di kawasan Parlimen Kuantan yang beliau wakili.
Adalah tidak adil bagi penulis untuk menyimpulkan bahawa operasi menyelamat, memindah, dan pengagihan keperluan kepada mangsa banjir hanya dilakukan oleh MKN setelah ditekan dan didesak oleh ahli politik.
Perlu dijelaskan di sini bahawa MKN menguruskan bencana tanpa dipengaruhi sebarang fahaman politik mahupun individu berkepentingan. Prioriti utama adalah menyelamatkan nyawa tanpa mengira latar belakang, kaum, agama, serta fahaman politik seseorang.
Dakwaan penulis dan juga Ahli parlimen Kuantan turut memperlihatkan ketidakfahaman mereka tentang sistem pengurusan bencana negara yang setaraf dengan sistem antarabangsa seperti badan-badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) yang meliputi aktiviti sebelum, semasa dan selepas berlakunya sesuatu bencana.
Walhalnya, sebelum dicadangkan oleh penulis sekali pun, MKN saban tahun mengambil langkah  melakukan persiapan sebelum berlakunya bencana banjir.
Hasil daripada post-mortem pengurusan banjir bagi musim tengkujuh lalu digunakan bagi memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti supaya jentera pengurusan banjir akan datang lebih berkesan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Sejurus negara menghampiri musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut 2013/2014, MKN mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) pada 24 September 2013 sebagai langkah persediaan awal.  Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) menjangkakan sebanyak 4 hingga 5 episod hujan lebat akan berlaku dalam tempoh sehingga Mac 2014.
Episod hujan lebat yang menyeluruh selama 3 hingga 7 hari akan menyebabkan risiko berlakunya banjir. Melihatkan keadaan ini, MKN mengarahkan supaya agensi serta aset pengurusan banjir diletakkan dalam keadaan bersiap sedia.
Untuk makluman, wakil kerajaan Negeri turut dijemput untuk menghadiri Mesyuarat JPBP bagi berkongsi maklumat mengenai persediaan jentera pengurusan banjir serta ramalan keadaan cuaca. MKN negeri juga mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di negeri masing-masing bagi menyelaraskan persediaan di peringkat negeri dan daerah.
Pendek kata, kerajaan melalui pelbagai agensi pengurusan bencana termasuk MKN melakukan semua persediaan yang perlu bagi memastikan operasi menyelamat dan perpindahan dilakukan sepantas mungkin bagi mengelak kejadian tidak diingini serta memastikan bekalan dan keperluan di pusat pemindahan adalah mencukupi.

Untuk makluman penulis, seramai 56,997 anggota daripada Angkatan Tentera Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, serta Jabatan Pertahanan Awam di seluruh negara diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk memberikan bantuan.
Selain itu, aset kerajaan yang boleh dikerahkan untuk operasi banjir di seluruh negara ditempatkan mengikut zon. Melihat kepada keadaan banjir semasa di pantai timur, MKN dan agensi-agensi tindak balas berkaitan mengambil tindakan untuk menggerakkan kekuatan dan aset di negeri-negeri yang tidak dilanda banjir bagi meningkatkan keupayaan agensi tindak balas dalam operasi banjir di kawasan yang terjejas banjir.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selaku agensi yang bertanggungjawab dalam pengurusan di pusat-pusat pemindahan mewartakan sebanyak 4,696 pusat pemindahan di seluruh negara yang boleh menempatkan seramai 1.3 juta mangsa. 54% daripada pusat pemindahan yang dikenal pasti adalah Kompleks Penghulu, Dewan Orang Ramai, Pusat Komuniti, dan lain-lain.
Selebihnya adalah sekolah. Selain itu, JKM juga menubuhkan Depot Simpanan Keperluan Bencana dan Stor Bencana Negeri di beberapa lokasi strategik di Pengkalan Chepa, Kemaman, Bedong, Sungai Buloh, dan Muar. Selain itu, terdapat 513 Pangkalan Hadapan bagi menyimpan stok barangan makanan dan barangan bantuan bencana ke kawasan yang berisiko terputus hubungan atau terputus bekalan.


Namun, manusia hanya mampu merancang dan Allah yang menentukan segalanya. Perancangan dan persediaan tidak selalunya berjalan lancar terutama dalam keadaan dunia yang mengalami perubahan iklim. Penulis seharusnya sedar cabaran yang dihadapi oleh agensi pengurusan bencana apabila terpaksa berdepan dengan cuaca ekstrem yang membawa kepada bencana.
Dalam kes di Kuantan, rekod cerapan hujan dari 1 hingga 3 Disember adalah sebanyak 900 mililiter. Cerapan ini adalah tiga kali ganda daripada jumlah cerapan sepanjang  Disember bagi 2012 iaitu 330 mililiter sebulan. Faktor ini, ditambahkan dengan fenomena air pasang besar menyebabkan air naik dengan mendadak sekali.
Sistem ramalan awal Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) setaraf dengan negara maju. Namun, apabila melakukan ramalan bagi cuaca tropika seperti di Malaysia, ia ternyata agak sukar dan ini turut diperakui oleh pakar-pakar meteorologi dunia.
Ramalan berlakunya episod hujan walaupun dapat dilakukan 7 hari ke hadapan namun ia tidak dapat menentukan lokasi tepat kejadian hujan, sebaliknya hanya secara umum. Lanjutan daripada ramalan JMM, amaran awal disebarkan melalui media termasuk media elektronik dan bantuan polis supaya penduduk di kawasan berisiko berjaga-jaga. Sejurus air mula naik, agensi penyelamat melakukan operasi pemindahan.
Mengenai dakwaan tentang bantuan yang  lambat tiba serta keadaan yang teruk di pusat pemindahan, ia harus dicerna dengan minda yang rasional. Harus difahami bahawa kerja pemindahan memerlukan masa berikutan keadaan cuaca, jumlah mangsa, serta faktor yang tidak dapat dielakkan. Terdapat mangsa yang enggan berpindah meskipun dipujuk dan akhirnya terkandas berikutan air naik terlalu dalam.
Peningkatan mendadak jumlah mangsa banjir melebihi jangkaan awal menyebabkan keadaan agak tidak tersusun di pusat-pusat pemindahan pada peringkat awal. Ekoran daripada kenaikan aras air yang tinggi akibat hujan ekstrem dan air pasang besar, terdapat beberapa pusat pemindahan turut dibanjiri. Mangsa di pusat pemindahan berkenaan terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan lain yang menyebabkan sedikit kesesakan.
Berikutan situasi ini, JKM juga terpaksa mengambil langkah menyusun semula pengagihan bekalan makanan dan bahan mentah bagi memastikan keperluan mencukupi. Selain itu, pihak berkuasa turut mengalami cabaran daripada segi logistik bagi menghantar bekalan berikutan keadaan cuaca yang buruk serta jalan raya ditenggelami air.
Namun, ini hanya berlaku pada peringkat awal pembukaan pusat pemindahan sahaja dan keadaan kini lebih stabil dan bertambah baik serta bekalan keperluan adalah mencukupi. Bagi kawasan yang terputus hubungan, bantuan dihantar melalui helikopter.


Melihatkan keadaan semasa banjir yang melanda negara, MKN perhatikan ramai yang cuba membandingkan Malaysia dengan negara Jepun yang dikatakan lebih unggul dalam menguruskan bencana. Walaupun ia adalah suatu perkara yang positif bertujuan penambahbaikan, namun adakah mereka ini sedar bahawa apabila negara Jepun dilanda bencana, semua pihak di segenap lapisan masyarakat meletakkan perbezaan fahaman politik dan ideologi mereka ketepi dan berganding bahu untuk menangani krisis yang dihadapi.
Kerajaan Jepun seperti lain-lain negara yang dilanda bencana yang diluar jangkaan atau berskala besar turut mengalami masalah untuk menguruskannya di peringkat awalan. Menyedari hakikat ini,  masyarakat setempat serta organisasi sukarelawan tempatan memainkan peranan mereka sebelum ketibaan pihak berkuasa.
Mereka ini mempunyai kesedaran tinggi peranan dan tanggungjawab yang seharusnya mereka mainkan tanpa menuding jari menyalahkan mana-mana pihak. Ini membolehkan negara mereka untuk bangkit kembali dengan pantas selepas berlakunya musibah.
Masyarakat Jepun sama ada orang awam atau parti politik tidak memijak di atas kepala agensi dan anggota penyelamat untuk mendabik dada sendiri.
Dalam keghairahan kita untuk membandingkan situasi dalam negara dengan negara luar yang dirasakan lebih ke hadapan, seharusnya kesediaan masyarakat untuk turut sama menggalas perubahan juga harus diambil kira.
Tahap kesedaran rakyat Jepun terhadap pentingnya untuk bersedia menghadapi bencana adalah amat tinggi. Menyedari bahawa mereka tinggal di kawasan yang berisiko menghadapi bencana alam, mereka memberikan kerjasama dalam melaksanakan langkah persediaan termasuk mengambil insurans bagi melindungi harta benda mereka.


Mengenai bantuan berupa wang berjumlah RM500 yang didakwa penulis sebagai terlalu sedikit, ingin diperbetulkan di sini bahawa ia bukanlah sebagai pampasan atau ganti rugi kepada kerugian yang dialami mangsa.
Terma yang sebetulnya bagi pemberian wang kepada mangsa ini adalah sumbangan Bantuan Wang Ihsan kerana ia hanya bagi meringankan beban kepada mangsa atas dasar keprihatinan kerajaan bagi membolehkan mereka ini memulakan kehidupan sejurus selepas berakhirnya banjir.
MKN juga mengambil kesempatan ini untuk menjawab tohmahan kononnya Bantuan Wang Ihsan terlebih dahulu masuk ke dalam poket segelintir pihak yang tamak. Sebagai makluman, sumber kewangan bagi peruntukan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa bencana adalah daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang tertakluk kepada tatacara kewangan kerajaan sedia ada dan proses pengauditan.
Proses penyerahan Bantuan Wang Ihsan juga tidak dilakukan sewenang-wenangnya, dan memerlukan dokumen pengenalan diri selain hanya empunya diri iaitu ketua keluarga yang disahkan dibenarkan untuk mengambilnya.
Semua keluarga yang layak akan diberikan Bantuan Wang Ihsan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik waima mereka mengenakan pakaian melambangkan parti yang disokong sekalipun semasa proses penyerahan. Hasilnya, akaun KWABBN bebas daripada sebarang komen audit yang negatif berikutan ia diuruskan dengan baik.
Sebagai makluman, negara pernah mengalami situasi banjir yang lebih buruk dan menyeluruh di seluruh negara melibatkan lebih daripada 230,000 mangsa yang berpindah pada 2010, selain daripada 140,000 mangsa pada 2006 dan 100,000 mangsa pada 2005.
Namun, situasi banjir semasa yang diperlihatkan adalah seolah-olah kerajaan tidak berdaya untuk menguruskannya, sedangkan mangsa yang terlibat pada ketika ini berjumlah sekitar 50,000 orang iaitu jauh lebih sedikit.
Hakikatnya, realiti di peringkat lapangan, keadaan ini masih boleh dikawal dan ditangani dengan baik walaupun terdapat gangguan dan cabaran logistik pada peringkat awal.
Tujuan MKN mengemukakan respon bukan disebabkan tidak boleh menerima kritikan tetapi bagi memperbetulkan salah faham serta kesalahan fakta yang didakwa oleh banyak pihak termasuk penulis sendiri.
MKN menghargai segala pandangan konstruktif yang diutarakan. MKN sentiasa berusaha untuk memantapkan dan memperbaiki sistem pengurusan bencana dalam keadaan perubahan iklim dan senario pembangunan negara yang rancak.  Namun, ia juga perlu mengambil kira keupayaan dan kapasiti negara selain melihat kepada kebolehmampanan kepada sesuatu usaha yang dilakukan.
Semua pihak dipohon untuk tidak melihat dari jauh dan mempolitikkan pengurusan bencana serta mengambil tindakan menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan kestabilan dan kelancaran operasi banjir yang boleh merendahkan moral petugas yang sedang bertungkus-lumus  memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.
Sebaliknya, semua pihak perlu berganding bahu bagi membantu jentera pengurusan bencana di peringkat tempatan. Nur Adilla Abd Rahim adalah seorang yang terpelajar. Justeru MKN yakin puan faham dengan maksud “Good deeds should be spotlighted and not laserred”.  – 10 Disember, 2013.
* Artikel ini disediakan oleh Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri.
Untuk peringatan, berikut disiarkan isi kandungan SURAT TERBUKA KEPADA MAJLIS KESELAMATAN NEGARA - NUR ADILLA  ABD RAHIM :

Keadaan banjir yang berlaku di Pahang dan negeri-negeri di Pantai Timur baru-baru ini begitu mendukacitakan. Melibatkan 40,920 orang mangsa dengan dua mangsa yang terkorban, bencana alam yang disebabkan hujan berterusan tanpa henti ini seperti tidak terurus dengan baik.
Setelah dibawa ke Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, yang memohon agar Kuantan diisytihar darurat, isu banjir ini mula mendapat perhatian oleh pemimpin tertinggi negara.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akhirnya turun padang sampai mengakui dan memohon maaf atas kelewatan bantuan bekalan dan kelemahan pengurusan banjir ini.
Di sinilah timbul satu persoalan baru. Malaysia bukan sebuah negara yang tidak biasa dihantar Tuhan dengan bah. Setiap hujung tahun, dari bulan November hingga Mac angin monsun Timur Laut akan bertiup membawa hujan lebat berterusan di kawasan Pantai Timur.
Hal ini berlaku setiap tahun – SETIAP TAHUN – lantas ketidaksiagaan badan kerajaan tertentu sebelum, semasa dan selepas bencana alam ini berlaku amat menghairankan.
Arahan MKN No. 20
Majlis Keselamatan Negara (MKN) merupakan satu-satunya agensi yang secara rasminya merupakan badan kerajaan yang tertubuh untuk pengurusan bencana di Malaysia. Meskipun sejarah menintakan bahawa MKN didirikan pasca-13 Mei dan pembubaran Mageran, peranan MKN semakin mencapah luas sejak itu. Antara lain:
  • Khidmat keurusetiaan kepada jawatankuasa
  • Memantau amalan serta pelaksanaan dasar dan mekanisme pengurusan bencana berjalan lancar
  • Post-mortem bencana diadakan
  • Menggerakkan SMART untuk operasi mencari dan menyelamat
  • Menyelaras pengendalian latihamal pengurusan bencana dan mencari dan menyelamat
  • Mengawasi langkah pencegahan dan kawalan bencana dijalankan
  • Merancang dan menyelaras serta mengawasi strategi kependidikan, latihan dan pencegahan kepada pegawai-pegawai dan anggota-anggota Jabatan Kerajaan, masyarakat dan Badan-badan Bukan Kerajaan dalam menghadapi dan mencegah bencana
  • Memberi nasihat kepada Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana apabila diminta ke arah kelancaran pengendalian serta pengurusan suatu bencana
Definisi ‘bencana’ yang jelas tercatit dalam Arahan MKN No.20 yang turut terpampang di laman sesawang MKN, ialah;
"...sesuatu kejadian yang berlaku secara mengejut, bersifat kompleks dan mengakibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan kepada harta benda atau alam sekitar serta menjejaskan aktiviti masyarakat setempat."
"melibatkan sumber, peralatan, kekerapan dan tenaga manusia yang ekstensif daripada banyak agensi serta penyelarasan yang berkesan..."
Arahan MKN No. 20: Dasar dan Mekanisma Pengurusan dan Bantuan Bencana Negara berdiri atas tiga tujuan utama iaitu;
  • Untuk menggariskan satu Dasar Pengurusan Dan Bantuan Bencana di Darat mengikut tahap bencana dan mewujudkan satu mekanisme pengurusan yang menentukan peranan serta tanggungjawab agensi-agensi yang terlibat semasa bertindak menangani sesuatu bencana yang berlaku.
  • Tindakan menjadi lebih kemas, terselaras dan teratur
  • Mengelakkan pembaziran, kekeliruan, konflik dan percanggahan
Dalam rekod MKN, Arahan No. 20 ini merupakan arahan yang paling kerap diguna pakai  kerana bencana alam merupakan perkara yang umum dan selalu berlaku. Arahan ini tergubal sebagai respon padabeberapa kejadian alam lampau seperti kes Highland Towers pada Mei 1994.
Pengurusan banjir dan bencana
Kejelasan garis panduan ini tampak gah dan lengkap sekali. Mencakupi hampir segenap segi, Arahan MKN No. 20 yang baru usai proses semak semulanya beberapa bulan lalu ini seharusnya membuatkan MKN ikut gah dan lengkap modus operandinya. Namun, sebaliknya pula yang berlaku baru-baru ini.
Laporan media menampakkan seakan-akan MKN harus dipaksa dan ditolak oleh beberapa ahli politik, barulah gerak kerja menyelamat, memindah dan pengagihan keperluan kepada mangsa bencana dilakukan dengan kadar cepat seperti yang sewajarnya.
Keabsahan hal ini pula turut disokong dengan laporan keberadaan tempat perpindahan yang begitu mendukacitakan dan tampak sangat daif.
Seakan-akan kita tidak pernah menghadapi bencana seumpama ini dan inilah pertama kali.
Seakan-akan kita atau MKN secara khusus, langsung tidak mempunyai pengalaman lepas dalam hal-hal pengurusan bencana.
Seakan-akan MKN langsung tidak mempunyai garis panduan untuk modus operandi kerna jelas sekali pengurusan bencana ini begitu carca merba.
Adalah dicadangkan bahawa, beberapa minggu sebelumbencana bah ini dijangka berlaku, MKN siap siaga dengan segala persiapan.
Selain mengeluarkan notis awal kepada penduduk di kawasan yang mungkin terbabit, keperluan seperti makanan, minuman dan air bersih, pakaian dan hal-hal yang berkaitan sudah boleh lekas dihantar di pusat pemindahan banjir.
Selain itu, perpindahan mangsa juga wajib dilakukan sesegeranya apabila air sudah naik dan bukanlah hanya setelah bah melimpah ke tahap bahaya.
Bot penyelamat, helikopter, kenderaan pancuan empat roda (jika banjir masih tidak kritikal) atau apa sahaja kenderaan untuk memindahkan mangsa sudah disediakan.
Bantuan RM500
Bantuan RM500 terlalu sedikit jika hendak dinisbahkan dengan kadar inflasi negara yang semakin menggila.
Dengan kehadiran tahun baru yang tidak lama, perbelanjaan akan tambah mencanak apabila keluarga akan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan masuk sekolah serta, tentu sekali, dengan perlu memulihkan semula kondisi material keluarga, amat tidak masuk akal bantuan RM500.
Kami tidak berminat dengan ucapan balas dari politikus seperti, “Sekurang-kurangnya ada juga bantuan daripada tiada”, kerana setelah sekian lama, kadar bantuan ini tetap statik dan tidak berganjak jumlahnya.
Kami juga amat berharap agar kenyataan bodoh seperti, “Bersyukurlah, RM 500 sudah cukup banyak, kerajaan perlu belanja untuk hal lain yang penting untuk negara”, kerana dengan segala rekod pengurusan kewangan yang buruk, boros, tiris dan begitu jelas merugikan, memadam segala pujukan dan retorik ini. Sudah-sudahlah menidakkan hak pada yang benar-benar berhak.
Wang bantuan ini perlu dikaji semula, bahkan perlu diberi mengikut pemboleh ubah yang sewajarnya seperti tahap kerugiaan, jumlah ahli keluarga, taraf pendapatan dan hal-hal lain supaya setiap keluarga dapat pulih dari kerugiaan yang dialami dengan baik.
Jepun sebagai contoh
Jepun ialah sebuah negara yang berada di atas Lingkaran Api Pasifik dan tentulah, Jepun dan bencana alam seperti gempa bumi dan Tsunami memang tidak dapat dipisahkan.
Namun, suatu hal yang dapat kita contohi dari negara ini ialah persediaan mereka sebelum menghadapi benca alam ini begitu teliti dan rapi.
Andai ada yang cuba berhujah, mereka bisa lakukan dan punya persiapan lebih baik ini adalah kerna Jepun ialah sebuah negara yang jauh lebih maju, mohon hujahan itu berhenti sekadar di ruang kerongkong. Usah dituturkan.
Sejak 1960, persedian Jepun dalam menghadapi bencana ini bukan calang-calang.
Menyentuh dalam konteks yang serupa, Jepun telah menjadikan bangunan-bangunan awam- tidak hanya sekolah dan dewan serbaguna – tetapi kuil dan taman awam dijadikan tempat sesuai untuk perpindahan mangsa.
Bahkan, keperluan-keperluan pasca bencana juga dalam keadaan sentiasa bersedia untuk diedarkan di samping turut dijual di kedai-kedai.
Tentulah kita begitu terkejut dengan kenyataan seorang menteri baru-baru ini, apabila diajukan cadangan bahawa mangsa bencana alam ini perlu diberi dengan khemah supaya lebih meyelesakan terutamanya yang bekeluarga, kita dimomokan dengan jawapan yang langsung tidak masuk akal.
Beliau dengan gah menjawab yang adalah lebih baik tikar dan tilam sahaja dibekalkan dan perbandingan antara Jepun-Malaysia ini tidak boleh terpakai kerana iklim yang beda.
Kalaupun sungguh khemah sedia ada di pasaran tidak sesuai, apakah kita tidak boleh mengembleng usaha inovatif pelajar di universiti atau pakar sedia ada untuk menghasilkan khemah atau apa-apa produk yang sesuai untuk digunakan?
Nah, di sinilah pentas sebenar untuk para politikus patut menjuarai isu pemeliharaan hak orang Islam yang majoriti di Malaysia, majoriti juga sebagai mangsa bencana.
Keadaan pusat pemindahan mangsa banjir berterusan dilihat tidak sesuai untuk wanita- Muslim atau bukan Muslim dan keluarga.
Tidur bercampur berhari-hari dan apatah lagi yang punya anak kecil, keadaan sebegitu begitu tidak menyelesakan.
Namun janganlah pula hanya rancak berkokokan, namun nihil pula tindakan. Atau lancar fasih ucap kemaafan, tetapi diulang khilaf silap di masa hadapan.
Kesimpulan
Adalah menyedihkan apabila KPI yang digubal bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan impak kerja, akhirnya menjadi sekadar garis minimum dalam modus operandi yang ditugaskan. KPI tidak wajar sekadar jadi penyebab pada kerja cukup syarat.
MKN perlu lebih proaktif, menggunakan pengajaran lepas sebagai pengajaran. Segala kelemahan tahun ini harus lekas dibaiki sebab hampir terjamin bahawa bencana ini akan berulang dalam lingkung masa hampir serupa setahun lagi.
Jumlah mangsa yang terlibat pula bukan calangan sedikit tetapi mencecah puluhan ribu- tahun ini sampai lebih empat puluh ribu.
Usah dilupa air juga bisa jadi “wahana” penularan pelbagai penyakit, tanpa langkah berhati-hati dan bersifat mencegah, kita bisa menjangka apa bentuk bencana lagi yang akan menghinggapi anak kecil mangsa bah. MKN patut peka dan responsif pada bencana sebulum, semasa dan selepas.
Jawapan beberapa wakil rakyat dalam merespon akan isu bencana baru-baru ini kedengaran begitu sombong dan tidak cocok dengan jubah wakil rakyat yang tersarung.
Kerja wakil rakyat tidak selesai hanya dengan turun padang jenguk muka, tidak usai hanya sekadar dengan melontar simpati di depan lensa kamera: tetapi wakil rakyat harus memahami pergelutan rakyat yang marhaen terutamaya dan mewakili rakyat mendapatkan hak mereka seadanya.
Dengan keadaan masyarakat yang makin bijak menilai dan semakin matang, wakil rakyat yang tidak buat kerja memang menempah “maut” di pilihan raya akan datang! – 9 Disember, 2013.
* Nur Adilla Abd Rahim ialah mahasiswa di University of Washington, kru Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM) dan alumnus Felo Perdana di Jabatan Perdana Menteri.

No comments: