“Jika ciri utama Syiah disebut oleh beliau sebagai menipu, maka nasionalis sekular pun tidak kurang menipu berbanding Syiah.
“Tidakkah menipu namanya apabila mewar-warkan kononnya berjuang untuk kepentingan agama namun di dalam masa yang sama bekerja untuk membelakangi syariat agama tersebut?” katanya dalam sebuah kenyataan pada Selasa.
Kata Nik Aziz, adalah satu penipuan apablia seseorang itu bermegah-megah dengan binaan masjid yang banyak dan indah tetapi tidak berusaha mendaulatkan hukum Allah.
“Hakikatnya, nasionalis sekular lebih hebat menipu berbanding Syiah. Syiah ialah musuh yang sudah muncul sejak berbelas abad,” jelasnya.
Sambil tidak menafikan betapa bahayanya Syiah, Nik Aziz berkata, adalah menjadi tanggungjawab para ulama untuk memastikan umat Islam tidak terjebak dengan penyelewengan Syiah.
“Alasan untuk mengingatkan masyarakat tentang bahaya Syiah ialah agar umat Islam tidak berpecah belah.
“Saya sokong bahawa Syiah tidak wajar wujud di negara ini… namun dengan meletakkan alasan agar umat Islam tidak berpecah belah menampakkan pemimpin berkenaan masih kabur dalam terang,” kata Nik Aziz.
Dalam pada itu, Nik Aziz menyelar tindakan setengah golongan yang mendakwa manusia boleh disatukan dengan seruan kebangsaan.
Menyifatkannya sebagai ‘khurafat moden’, kata beliau manusia hanya boleh bersatu dengan Islam.
“Usahlah disebarkan khurafat moden bahawa merekalah satu-satunya tempat untuk Melayu bergantung,” katanya.
Kata Nik Aziz lagi, ‘serangan’ terhadap Syiah itu sebenarnya ditujukan kepada ‘parti lawan’ yang didakwanya semakin mendapat sambutan.
Kata jika benar ingin membasmi Syiah, beliau menggesa supaya tangkapan dilakukan dan tidak perlu berdolak-dalik.
Isu Syiah sekali lagi menjadi perhatian apabila Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu lalu, meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil tindakan ke atas Mohamad Sabu yang didakwanya pengikut ajaran Syiah.
Dalam ucapannya sebagai Naib Presiden UMNO semasa menggulung perbahasan pada perhimpunan parti itu, beliau mendedahkan bahawa Mohamad adalah seorang pengikut ajaran Syiah.
Sumber : AstroAwani
No comments:
Post a Comment