Monday, 2 December 2013

JEFF 'KUCING KURAP' OOI MOHON MAAF KERANA DIARAHKAN KARPAL SINGH

AIDCNews  -  Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi akhirnya meminta maaf kerana menggelar kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sebagai ‘kucing kurap’ bulan lalu.

Wakil rakyat DAP itu membuat pengumuman maaf tersebut selepas diarahkan oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh pada Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang 2013, 30 November.
Jeff berkata, tiada orang lain yang boleh mengarahkan beliau untuk menarik balik dan meminta maaf atas kenyataan yang dibuat yang mendapat kritikan daripada pelbagai pihak serta menimbulkan kemarahan kakitangan MPPP itu.
“Tetapi sebagai Little Tiger of Jelutong, saya hanya akur kepada arahan dan kata-kata yang dikeluarkan Tiger of Jelutong iaitu Karpal Singh.
“Dengan ini saya secara terbuka ingin memohon maaf kepada semua pihak yang terluka dengan kenyataan saya itu,” katanya dilaporkan Utusan Malaysia.
Terdahulu dalam ucapannya, Karpal berkata, pekerja MPPP tidak sepatutnya dihina dengan gelaran seperti itu dan beliau mengarahkan Jeff Ooi meminta maaf secara terbuka.
Jelasnya, pekerja MPPP sama ada yang berpangkat tinggi atau rendah harus dihormati.
“Sebagai Pengerusi Kebangsaan DAP saya mengarahkan Jeff Ooi menarik balik kenyataan itu dan kalau beliau enggan mungkin Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP ada kuasa untuk mengarahkan beliau,” ujarnya.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Jeff Ooi sepatutnya akur dan hormat dengan arahan pemimpin parti bagi menarik balik kata-kata tersebut dan tidak hanya atas desakan Karpal semata-mata.
Sementara itu, Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak berkata permohonan maaf Jeff Ooi dilihat seolah-olah tidak ikhlas kerana menunggu lebih dua minggu dan dibuat atas desakan Karpal Singh.
Menurutnya, kalau Jeff benar-benar ikhlas, beliau tidak perlu didesak oleh sesiapa untuk memohon maaf tetapi segera meredakan kemarahan banyak pihak dengan menarik balik kenyataan itu daripada awal.
“Permohonan maaf itu seolah-olah ada muslihat tersendiri kerana dibuat atas desakan Karpal dan bukannya ikhlas kepada orang Melayu yang terhina dengan kenyataan itu.
“Jeff juga kena tarik balik desakannya yang mahu Yang Dipertua MPPP, Datuk Patahiyah Ismail meletak jawatan kerana didakwa tidak mampu menjalankan tugas dengan baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia
Tambah Rahmad, Jeff diminta lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengguris hati golongan bawahan serta orang Melayu.
“Jika beliau tak ambil iktibar daripada apa yang berlaku, tak mustahil gelaran ‘Harimau Jelutong’ yang diberikan kepadanya boleh diubah kepada ‘Kucing Jelutong’ selepas ini.
“Kerajaan DAP Pulau Pinang juga harus ambil iktibar atas apa yang berlaku dan tidak boleh benarkan wakil rakyat mereka membuat kenyataan sesuka hati sehingga mengguris perasaan orang lain,” ujarnya.
Sementara itu bagi Setiausaha Sekretariat Himpunan Melayu Pulau Pinang, Mohamad Nor Suhaili Jamali, Jeff tidak harus bersandar kepada seseorang sebelum membuat permohonan maaf itu.
Jelasnya, tindakan Jeff itu dilihat agak angkuh kerana permohonan maaf itu seolah-olah tidak ikhlas dan dibuat secara bersyarat.
“Jeff perlu minta maaf bukan sekadar dalam majlis DAP sahaja tetapi di hadapan semua kakitangan MPPP kerana isu ini melibatkan mereka.
“Kalau nak tunjuk keikhlasan, beliau harus bersemuka dengan individu yang dihina dengan gelaran itu dan minta maaf sendiri dengan mereka,” katanya.

No comments: