Malam tadi sekitar pukul 8.30 malam (2.30 petang waktu Geneva, Switzerland), tuntutan-tuntutan melampau daripada Gabungan NGO Hak Asasi Manusia Malaysia (Comango) pada proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) telah didengar.
Comango yang dianggotai 54 pertubuhan termasuk Suaram dan Sisters in Islam adalah kumpulan yang mempunyai ideologi hak asasi tertentu. Rata-ratanya cenderung ke arah Barat dan sekular.
Di Geneva, kerajaan perlu menempuh proses UPR di mana Malaysia perlu menjawab beberapa tuntutan yang dikemukakan Comango berhubung kepatuhan terhadap undang-undang hak asasi manusia.
Ini termasuk kebebasan perlu diberikan kepada orang Islam untuk murtad. Juga, ruang untuk mereka yang bernafsu sejenis dibenarkan melampiaskan nafsu mengikut pilihan mereka sendiri tanpa melalui sekatan undang-undang.
Dalam 'insiden' ini, jangan dipandang remeh pengaruh UPR kerana impaknya memang besar.
Ingatkah lagi rakyat Malaysia apa yang terjadi dalam pusingan pertama UPR di Geneva pada 11 Februari 2009. Syor-syor pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dan Akta Ordinan Darurat (EO) 1969 yang diutarakan dan ditandatangani dalam pusingan itu akhirnya telah menuntut komitmen kita.
Untuk mengelakkan perkara yang lebih teruk lagi berulang, Delegasi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam di dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPro) terpaksa bergegas ke Geneva. Di Geneva, Comango dan MuslimUPro merupakan pelobi. Kalau hanya mendengar suara Comango, ia sedikit sebanyak boleh mempengaruhi keputusan delegasi antarabangsa. Sesetengah wakil negara luar pula tentu akan turut melobi apa yang dituntut oleh Comango.
Pihak yang membawakan isu tuntutan ini realitinya memang mereka penuh 'bermasalah'. Ada hitam putih dalam laporan Comango. Ada perenggan tertentu yang mahu menuntut hak-hak bertentangan dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Dan menggugat Islam dalam budaya masyarakat majmuk yang telah semua pihak terima. Ini yang orang Melayu tidak boleh terima sehinggakan dalam jenayah syariah pun, mereka (Comango) anggap pelanggaran hak asasi.
Bagi Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim, tuntutan-tuntutan melampau Comango seharusnya 'mencelikkan mata' umat Melayu Islam betapa perlunya mereka bersatu.
Comango, kata beliau, sebenarnya telah lama mengutip 'butiran-butiran serong' untuk dibentangkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB dan masyarakat antarabangsa. Ini antaranya bertujuan memperkecilkan Malaysia menerusi peruntukan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan berkaitan Islam sebagai agama Persekutuan.
Malahan, kata beliau, beberapa kes melibatkan hak-hak agama Islam menerusi keputusan Mahkamah Syariah dan tindakan majlis agama Islam negeri-negeri juga dikemukakan oleh gabungan 54 pertubuhan itu secara berasingan ke UPR sebagai kononnya pentadbiran Malaysia terlalu ekstrem dalam melaksanakan lunas-lunas Islam.
"Sejak saya menjadi Menteri Luar lagi, mereka dah cuba. Ini semua akan dilaporkan mereka (Comango) sebagai bertentangan dengan hak asasi manusia.
"Sebenarnya sekarang ini ada gerakan antarabangsa yang dicetuskan oleh pihak- pihak yang suka hendak menjejaskan Malaysia khasnya dan umat Islam amnya di Asia Tenggara.
"Ini melibatkan Malaysia dan Indonesia. Indonesia merupakan negara Islam yang jumlah umat Islamnya terbesar di dunia sementara Malaysia negara Islam paling progresif.
"Jadi, ini contoh (tuntutan Comango) kalau kita umat Melayu Islam tidak bersatu, orang akan pertikaikan," kata bekas Menteri Luar itu kepada penulis kelmarin.
Rais berkata, beberapa kes misalnya melibatkan seorang wanita Islam murtad, 'Lina Joy' juga dijadikan kes lampiran oleh Comango untuk menunjukkan sistem hukuman negara membelakangi hak asasi manusia.
"Selain itu, pembangunan masjid dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) juga dijadikan bahan kritikan sebagai kononnya Malaysia keterlaluan dalam memajukan Islam sehingga menyebabkan kaum- kaum lain tidak sampai ke tahap progresif.
"Dan kononnya kemajuan bukan Islam juga terpinggir. Ini semua bidaah yang digaul dengan politik antarabangsa," kata beliau yang juga Presiden UIAM.
Serentak itu, Rais menggesa seluruh NGO yang memegang dan memperjuangkan prinsip-prinsip Islam dan Melayu supaya tampil menangkis tohmahan-tohmahan daripada Comango.
"Kita mesti tunjukkan komitmen Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) selama ini kepada rakyat dan NGO bukan Islam yang juga amat besar, sumbangan kepada Sabah dan Sarawak menerusi badan-badan yang berkait rapat dengan Kristian harus dinyatakan.
"Yang paling utama, kita mesti tunjukkan Malaysia menerusi Perlembagaan Persekutuan (Perkara 3) sama sekali tidak mengetepikan kepentingan bukan Islam termasuk membenarkan kebebasan beragama secara aman.
"Jika (tuntutan Comango) ini tidak ditangkis, rating Malaysia dalam harakat hak asasi manusia di peringkat antarabangsa akan terjejas teruk," katanya.
Di sebalik kemarahan umat Islam negara ini terhadap Comango, kita mengharapkan wakil kerajaan di Geneva malam tadi yang berpegang teguh pada asas Perlembagaan negara menjadi pelobi yang berwibawa.
Banyak contoh Perdana Menteri berdamping rapat dengan masyarakat bukan Islam. Di Batu Caves, Selangor; Sabah dan Sarawak serta dalam perayaan-perayaan Deepavali, Gong Xi Fa Chai dan Hari Natal, kemesraan pemimpin dan rakyat jelas amat ketara.
Malam tadi, delegasi rasmi kerajaan membentangkan laporan prestasi empat tahun lepas sejak proses terakhir 2009. Dan ini membuka ruang kepada orang lain mengemukakan laporan dan komentar mereka.
Proses UPR berlangsung dalam bentuk perundingan dan sesi khusus itu berlangsung selama tiga jam bagi slot Kuala Lumpur.
Dan beberapa hari lagi iaitu pada 29 atau 30 Oktober ini, delegasi dan kerajaan akan mengisytiharkan syor yang akan diterima, syor ditolak atau tiada komen.
Kita iringkan doa semoga kebenaran berpihak kepada kerajaan. Oleh Zulkifli Jalil - UtusanMalaysia
No comments:
Post a Comment