Friday 4 October 2013

MENTERI BESAR TEMPELAK SIVAKUMAR 'MISKINKAN' RAKYAT PERAK



Tindakan pembangkang yang sengaja memanipulasi isu kemiskinan di Perak akhirnya menjerat diri apabila statistik Jabatan Perangkaan merekodkan kadar rakyat miskin dan miskin tegar di negeri itu masing-masing menurun kepada 1.5 peratus dan 0.2 peratus, tahun lalu.
Pada 2009, statistik rakyat miskin yang dicatatkan Jabatan Perangkaan ialah 3.5 peratus manakala miskin tegar pula 0.5 peratus.Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, dalam tempoh empat tahun lalu, kerajaan negeri melaksanakan pelbagai usaha untuk membasmi kemiskinan di kalangan rakyat.
“Menerusi usaha berterusan, kadar rakyat yang dikatogerikan miskin menurun kepada 1.5 peratus tahun lalu, berbanding 3.5 peratus pada 2009.
“Untuk katogeri miskin tegar pula, Perak sekadar mencatat 0.2 peratus berbanding 0.5 peratus bagi tempoh sama,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Ipoh, kelmarin.

Pencapaian membanggakan itu katanya, merupakan satu perubahan besar bagi pihak kerajaan negeri.
Sehubungan itu, pihak pembangkang terutamanya Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar kata Zambry, tidak seharusnya bertindak memanipulasi sesuatu isu untuk kepentingan politik.
“Saya harap pembangkang tidak bermain dengan data dan analisa cetek yang akhirnya menampakkan kedangkalan mereka sendiri kerana membelakangkan konsep pengiraan dan statistik sebenar.
“Saya juga tidak mahu berdebat dengan orang yang tidak mahu faham atau orang yang sengaja buat tak faham,” katanya lagi.
Selain itu, analisa berkaitan kadar kemiskinan di sesebuah negeri katanya, berbeza antara satu sama lain berdasarkan kepada pendapatan perkapita yang diperoleh rakyat pada setiap tahun.
“Sebagai contoh, pendapatan perkapita bagi rakyat Perak ialah RM4,572 dan mungkin di negeri lain ia di bawah RM3,000 setahun.
“Oleh itu, sudah tentulah kaedah pengiraan antara negeri-negeri tidak sama dan kita di Perak, asas yang diletakkan cukup tinggi,” tegasnya lagi.
Beliau berkata, tiada sesiapa atau mana-mana negara di dunia ini berasa selesa dengan isu kemiskinan.
Justeru, kerajaan negeri katanya, akan terus berusaha untuk menangani isu terbabit demi kesejahteraan rakyat Perak.

No comments: