Kira-kira 30 peniaga kecil di Batu 13, Jalan Cheras-Kajang di sini mengadakan protes secara aman semalam berikutan tidak berpuas hati tindakan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengeluarkan notis untuk merobohkan struktur gerai mereka.
Rata-rata peniaga yang sudah menjalankan perniagaan lebih lima tahun di tepi jalan besar berkenaan mendakwa pendapatan mereka akan terjejas lebih 70 peratus sekiranya struktur gerai dibina dikenakan tindakan terbabit.
Presiden Pertubuhan Pengusaha Kios Melayu Daerah Hulu Langat (PPKMHL) Mohammad Hanapiah berkata, sebanyak 13 gerai di kawasan itu menerima notis perobohan struktur gerai yang dijangka Isnin ini.
Turut menerima notis ialah sembilan peniaga di Jalan Kajang Mewah, Sungai Chua.
MPKj katanya, hanya membenarkan peniaga menjalankan perniagaan menggunakan kios kecil tanpa ada sebarang struktur tambahan, jika tidak peniaga dikenakan tindakan.
Isu itu katanya berlarutan sejak dua tahun lalu dan tindakan pernah ditangguh namun ia kembali berbangkit tahun ini.
Jelasnya, peniaga membelanjakan antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi membina struktur tambahan dan rugi sekiranya ia dirobohkan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kajang, Datuk Nozhar Che Noor berkata, peniaga sudah banyak bertolak ansur dengan semua pihak.
Katanya, jika pihak berkenaan hendak mengambil tindakan, perlu sediakan tempat lebih baik .
Konsep kios sudah tidak relevan dengan peredaran masa dan perlu diubah sesuai dengan selera pelanggan masa kini.
“Jangan pandang ringan kepada isu peniaga, mereka buat pinjaman kewangan untuk jalankan perniagaan, kalau tidak dapat berniaga, mana sumber hendak bayar hutang. Tidak perlu robohkan gerai, perbincangan perlu dilakukan,” katanya.
Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah yang menerima aduan peniaga berkata, pihaknya melihat golongan peniaga khususnya Melayu bagaikan ditindas sejak sebulan lalu.
Mengenai isu itu, katanya, pihaknya dan peniaga akan menghantar memorandum dan protes di depan pejabat Ahli Parlimen Hulu Langat bagi mendesak wakil rakyat turun padang membantu peniaga kecil.
Lesen perniagaan tertera jenis perniagaan yang boleh dijalankan
No comments:
Post a Comment