Wednesday 16 October 2013

ISU KALIMAH ALLAH : DR. MAZA BELASAH NOH GADUT


Boleh murtad jika pertikai keputusan kalimah ALLAH

SHAH ALAM - Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut menyatakan orang Islam yang mempertikaikan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung penggunaan kalimah ALLAH boleh menjadi kafir serta murtad.


Menurutnya, tindakan umat Islam yang mempertikaikan keputusan itu mencerminkan akidah dan syariat serta keji dari segi akhlak.

Katanya, kafir dan murtad seseorang itu  "jatuh" sekiranya individu tersebut melakukan dalam keadaan sengaja dan waras.

"Kalau takdirnya yang mempertikaikan itu umat Islam, mereka boleh menjadi kafir dan murtad sekiranya (kenyataan mempertikaikan) itu dilakukan dengan sengaja," katanya yang dipetik Utusan.online.

Kelmarin, Mahkamah Rayuan memutuskan kalimah ALLAH tidak boleh digunakan dalam majalah mingguan The Herald.

Dalam pada itu, Nooh berkata, mempertikaikan keputusan itu juga seolah-olah mempersoalkan apa yang termaktub dalam kitab suci al-Quran iaitu ALLAH hanya untuk orang Islam.

"Kalau jatuh murtad, gugurlah amalan mereka di dunia dan akhirat. Segala amalan kebaikan tidak akan diterima.

"Oleh itu, mereka wajib segera bertaubat dengan mengucap dua kalimah syahadah dan berjanji tidak akan mengulangi dosa itu lagi," katanya lagi.






Dr. Asri Sokong Benarkan Bukan Muslim Guna Khalimah Allah

Bekas mufti Perli, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (gambar) menolak pandangan mengatakan seseorang Muslim tersebut kafir kerana mempersoalkan pengharaman penggunaan kalimah Allah ke atas penganut agama lain. 

Kenyataan Asri tersebut membidas bekas mufti Johor, Datuk Noh Gadut, yang juga penasihat Majlis Agama Islam, kerana memberi amaran kepada penganut Muslim yang mempersoalkan pengharaman kalimah Allah ke atas yang bukan Muslim.

"Walaupun kamu penyokong kuat kerajaan dan bersetuju dengan apa yang mereka lakukan, kamu tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang memperlihatkan kebodohan kamu," kata Asri kepada The Malaysian Insider.


Asri kemudian menjelaskan isu kalimah Allah hanya menjadi pertikaian di Semenanjung Malaysia, sebaliknya kalimah suci tersebut tidak menjadi isu di negara-negara lain yang juga mengamalkan ajaran Islam.


"Di negara Arab yang penganutnya Muslim, tiada masalah seperti ini. Negara seperti Jordan dan Mesir, kalimah Allah telah digunakan oleh pihak gereja besar lebih 1,400 tahun dahulu lagi," katanya lagi.

"Jadi, adakah beliau (Noh) berkata semua cerdik pandai Muslim dan ulama seluruh dunia kecuali di Semenanjung Malaysia adalah kafir?"

Asri menganggap kenyataan sedemikian oleh Noh akan memberikan kesan yang besar kerana isu kalimah Allah tidak wujud di negara Islam lain.


"Beliau menuduh umat Islam seluruh negara sebagai murtad kerana membenarkan Kristian menggunakan kalimah Allah, ini sangat besar," dakwa Asri.


Noh dipetik berkata dalam Utusan Malaysia menyelar sesiapa yang mempersoalkan keputusan Mahkamah Rayuan sebagai menderhaka dan keji.


"Jika Muslim mempersoalkan dengan menyedarinya, mereka boleh dianggap sebagai kafir atau menjadi murtad," kata Noh yang dipetik berkata dalam Utusan Malaysia.


Selain itu, Asri juga menerangkan selagi kalimah Allah digunakan untuk merujuk kepada "paling agung", ia tidak bukan satu masalah kepada pihak bukan Islam untuk menggunakannya.


"Jadi, ia sebenarnya bukan satu isu. Muslim percaya kepada satu tuhan. Maka bagaimana kita boleh mengatakan Tuhan kamu berbeza daripada saya," tambah beliau.


Mahkamah Rayuan dalam keputusan semalam sebulat suara telah menghalang gereja Katolik daripada menggunakan kalimah Allah dalam akhbar mingguan berbahasa Melayu Herald sebagai rujukan kepada Tuhan bagi agama Kristian.


Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang mempengerusikan panel tiga anggota hakim berkata ia dianggap dapatan mahkamah bahawa Kementerian Dalam Negeri tidak bertindak dalam apa-apa cara yang mewajarkan campurtangan badan kehakiman mengenai keputusannya melarang penerbitan itu menggunakan kalimah Allah.


Isu kalimah Allah bermula pada awal 2009 apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan permit akhbar Herald menggunakan kalimah Allah merujuk kepada Tuhan.


Tindakan tersebut menyebabkan gereja mengemukakan saman kepada kerajaan kerana melanggar hak dalam Perlembagaan.


Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan semakan keputusan dan membatalkan pengharaman oleh KDN untuk menggunakan kalimah Allah oleh Herald.


Hakim turut menjelaskan gereja mempunyai hak dalam Perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam akhbarnya kerana agama selain Islam boleh mengamalkannya secara aman dan harmoni.


Katanya, meskipun Islam merupakan agama Persekutuan, ia tidak memberi kuasa kepada kerajaan menghalang gereja menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya. – 16 Oktober, 2013.






SHAH ALAM: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetap mempertahankan penggunaan  kalimah Allah  oleh bukan Muslim  selagi ia tidak disalahgunakan.

Ujarnya mana-mana pihak tidak sepatutnya menghalang orang bukan Islam kerana penggunaan kalimah itu telah bermula sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi.

"Allah adalah perkataan yang memberi makna dia sahaja Tuhan tak ada yang lain bagi orang Islam. Bagi penganut bukan Islam kita tak boleh halang mereka menggunakan kalimah Allah di tempat mereka. 

"Bahkan perjanjian Nabi Muhammad dengan orang bukan Islam yang minta gunakan kalimah Allah dalam perjanjian (dan) dibenarkan tulis dalam perjanjian," katanya ketika ditemui semasa sidang media selepas Seminar Perlaksanaan Syariah Islam di Malaysia hari ini.

Bagaimanapun Hadi menegaskan umat Islam berhak mempertahankan penggunaan kalimah Allah sekiranya orang bukan Islam sengaja menggunakan kalimah itu dengan cara yang bercanggah dengan ajaran Islam.

"Konsep membenarkan kalimah Allah pada semua manusia itu tak ada halangan namun sekiranya mereka nak menafsirkan dengan cara yang salah kepada orang Islam, kita perlu jawab dan jelaskan. Kerajaan dan pihak berkenaan kena jawab," kata Hadi.

"Sebabnya penggunaan kalimah Allah ini memberi makna dia sahaja Tuhan yang disembah, undang-undang Dia sahaja yang dipakai. Kalau sekiranya dia sebut Allah, (tapi) tak pakai undang-undang Allah itu pun tak betul juga. 

"Kita orang Islam boleh makan sembelihan Yahudi dan Kristian kerana dia sebut kalimah Allah semasa sembelih dengan syarat dia sembelih binatang yang kita boleh makan walaupun dia bukan Islam," katanya.

Isnin ini, Mahkamah Rayuan akan memutuskan permohonan kerajaan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar Kristian The Herald menggunakan kalimah Allah.

Keputusan yang dinanti-nanti itu menyusul lima minggu setelah Mahkamah Rayuan mendengar hujah peguam badan-badan Islam dan peguambela Persekutuan serta peguam Gereja Katolik yang menerbitkan The Herald.

Keputusan itu akan diumumkan oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh.


PETIKAN DARI : SUMBER

No comments: