Wednesday 16 October 2013

TIADA FAKTA SEJARAH PERKATAAN ALLAH DALAM BIBLE BAHASA MELAYU

bbb

PUTRAJAYA  – Kalimah Allah yang digunakan dalam Al-Kitab (versi Bible  bahasa Melayu) dan perkataan tersebut yang digunakan dalam majalah mingguan The  Herald merupakan dua penerbitan yang berbeza.


Ini kerana, Al-Kitab yang merupakan Bible versi bahasa Melayu sangat jelas  adalah untuk penganut agama Kristian.

Demikian kata Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dalam  penghakiman bertulis setebal 34 muka surat ketika membenarkan rayuan Menteri  Keselamatan Dalam Negeri dan lapan yang lain.

Hakim Abdul Aziz berpendapat, ketiadaan bukti dan fakta sejarah mengenai  perkataan Allah dalam Bible bahasa Melayu merupakan alasan kukuh Menteri Dalam  Negeri untuk tidak mempertimbangkan penggunaannya dalam majalah mingguan The  Herald.

Tambahan pula, Menteri Dalam Negeri dengan jelas telah mengenakan syarat  bahawa Bible bahasa Melayu hanya untuk digunakan di gereja dan dalam kalangan  penganut Kristian.

Malahan, Bible bahasa Melayu dengan jelas dicetak pada muka hadapannya  perkataan ‘Bukan Untuk Orang Islam’.

Syarat tersebut telah dinyatakan dengan terperinci oleh Menteri Dalam Negeri  dalam suratnya bertarikh 24 April 2007 kepada Gereja Roman Katolik selaku pihak  responden dalam rayuan tersebut.

The Herald pula adalah surat berita atau dalam kategori yang sama seperti akhbar (walaupun dengan peredaran terhad) atau mungkin digunakan sebagai alat gereja Katolik untuk menyebarkan maklumat atau aktiviti gereja atau penganut Katolik.

Peguam yang mewakili pihak gereja sendiri bagaimanapun mengakui, majalah  mingguan The Herald hari ini, boleh diakses oleh sesiapa sahaja dalam talian  sama ada bukan Islam mahupun penganut agama Islam.

“Atas alasan tersebut, pada hemat saya kebenaran yang diberikan oleh Menteri  Dalam Negeri bagi mencetak dan mengedar Bible dalam bahasa Melayu yang  menggunakan perkataan Allah, tidak boleh diterima dengan cara yang sama seperti  percetakan dan penerbitan The Herald menggunakan perkataan Allah,” ujar Hakim  Abdul Aziz. – Utusan.

No comments: