Wednesday, 18 September 2013

DOSA KEPALA KOMUNIS CHIN PENG TERLALU BESAR....!!!

KL15_050112_UCAPTAMA

KUALA LUMPUR  – Dosa bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), mendiang Chin Peng terlalu besar terhadap negara ini.

Bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Ghazali Mohd. Seth berkata sehubungan itu, tiada ruang walaupun seinci bagi mayat ketua pengganas komunis tersebut memasuki negara ini.

Mohd. Ghazali yang mempunyai ingatan terperinci berhubung kekejaman pengganas komunis menjelaskan, kepulangan mendiang ke tanah air merupakan penghinaan kepada bekas-bekas perwira negara yang telah terkorban.

Beliau yang mengetuai ketumbukan pertahanan negara pada awal 80-an tidak dapat melupakan kekejaman yang dilakukan pengganas komunis terhadap pasukan pertahanan negara ketika itu.

“Saya sendiri memapah mereka yang cedera dan mengangkat mayat perwira dari medan pertempuran. Saya masih ingat pertempuran di Sungai Siput, Perak yang menyaksikan ramai anak-anak buah saya terkorban akibat kekejaman komunis.

“Darah dan keringat pahlawan terdahulu jangan diabaikan, mereka berjuang sedaya-upaya memastikan anasir yang didoktrinkan Chin Peng ini dihapuskan, biar terkorban nyawa sekalipun,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mayat Chin Peng yang meninggal dunia di Thailand akibat sakit tua pada usia 90 tahun tidak akan diterima untuk dibawa pulang ke negara ini.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua yang tinggal dalam buangan di Thailand meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada pukul 6.20 pagi hari ini akibat sakit tua.

Mengulas lanjut, Mohd. Ghazali yang juga Pengerusi Kelab Pegawai-Pegawai Bersara Angkatan Tentera (Rafoc) menambah, beliau yakin sesiapa sahaja yang hidup semasa zaman darurat pada 1948 hingga 1960 dan 1968 hingga 1989 pasti membantah sebarang simpati terhadap Chin Peng.

Sudah terang lagi bersuluh tegasnya, kekejaman komunis yang membunuh sebanyak 2,083 anggota keselamatan negara perlu dijadikan titik rujukan paling kukuh bagi rakyat.

“Chin Peng adalah ketua komunis yang melakukan kekejaman terhadap negara ini, jangan ada sekelumit sekalipun simpati terhadap pengkhianat negara ini, saya sokong ketegasan kerajaan dalam isu ini,” kata beliau.

No comments: