SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mengambil pendirian untuk tidak memberi sebarang komen berhubung isu Syiah serta dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan ajaran tesebut.
Sebaliknya, Mohamad atau lebih dikenali dengan panggil Mat Sabu mendakwa, isu itu sengaja dibangkitkan media setiap kali tiba musim pemilihan parti.
"Saya tidak mahu jawab mengenai Syiah, sebarang soalan...ini hanya permainan media, saya tidak mahu jawab.
"Tidak mahu menjawab apa-apa (mengenai Syiah)...sori," kata Mat Sabu, lapor Antarapos.
Pas akan mengadakan pemilihan parti itu pada November ini.
Sejak kebelakangan ini, isu Syiah timbul kembali dan Mat Sabu antara nama yang menjadi 'mangsa serangan' kerana dikatakan mempunyai kaitan dengan ajaran itu.
Sebelum ini, Mat Sabu beberapa kali menjelaskan beliau bukan Syiah tetapi menyokong pendekatan politik yang diambil oleh kerajaan Iran dan Hizbullah dalam memperjuangkan Islam dan melawan musuh Islam iaitu Israel dan Amerika.
Malah terdapat dakwaan Syiah sudah menular di beberapa pusat pengajian tinggi dan pemimpin Pas juga diresapi pengaruh mazhab tersebut. SH
No comments:
Post a Comment