Tuesday, 27 August 2013

JENAZAH ANGGOTA MALBATT 5 YANG TERKORBAN DI LUBNAN DIJANGKA TIBA KE TANAHAIR PETANG INI

sarjan

AL-FATIHAH....

KUALA LUMPUR : Jenazah anggota pasukan Batalion Malaysia (Malbatt 5), Sarjan Rosdi Mohamad Zan yang meninggal dunia akibat kemalangan kenderaan tentera di Lubnan, dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 2.30 petang Selasa.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada pukul 3.30 petang.
Jenazah kemudian akan diterbangkan ke Ipoh, Perak dengan pesawat C130 dari Pangkalan TUDM Subang.
Upacara penghormatan terakhir telah dilaksanakan di Helipad Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri di Lubnan pada pukul 4 petang (9 pagi waktu Malaysia) semalam.
Pada upacara itu, Komander Pasukan Unifil, Mejar Jeneral Paolo Serra menganugerahkan Allahyarham pingat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Unifil manakala Lubnan yang diwakili Komander Angkatan Tentera Lubnan, Kolonel Said Mourad menganugerahkan Pingat Negara Lubnan.
Kedua-dua pingat berkenaan disematkan pada bendera PBB yang menyelimuti keranda jenazah Allahyarham.
Jumaat lalu, Rosdi, 32, meninggal dunia kira-kira pukul 5.40 petang waktu di Lubnan (10.40 malam waktu Malaysia).
Rosdi merupakan anggota Malbatt 5 di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unifil) di Lubnan. Beliau maut apabila kenderaan kembalik yang dinaikinya hilang kawalan dan terhumban 15 meter ke dalam cerun.
Nahas berlaku ketika kenderaan kembalik itu yang dalam operasi menunda kenderaan perisai Condor tiba di satu selekoh di kawasan operasi berhampiran bandar Houla.
Insiden turut menyebabkan dua lagi anggota Malbatt 5 cedera iaitu Lans Koperal Nur Syahied Taib dan Lans Koperal Mohamad Aizuwan Atan, kedua-duanya berusia 26 tahun.
Turut hadir Duta Malaysia ke Lubnan, Illango Karuppanan.
-BERNAMA

No comments: