Friday, 5 July 2013

BUANG PINGAT - APA KATA MAT YO


Penyerang Johor Darul Takzim, Norshahrul Idlan Talaha menafikan laporan media yang dia bertindak membuang pingat yang diterimanya selaku naib juara Piala FA selepas perlawanan tersebut Sabtu lalu.


Sebaliknya, pemain yang turut dikenali sebagai Mat Yo itu memberikan pingat berkenaan kepada salah seorang pegawai Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) selepas pasukannya kalah 1-0 kepada Kelantan.

Pada masa sama, pemain itu juga mengakui bahawa dia sememangnya kecewa dan sedih ekoran kekalahan pasukannya pada aksi perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Saya memberikannya kepada seorang pegawai PBNJ. Saya memang kecewa kerana gagal membantu pasukan meraih kemenangan.

"Sememangnya saya ingin melihat pasukan menang dan mahu ia menjadi hadiah buat Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim," katanya ketika ditemui pemberita selepas menjalani latihan di padang Sri Gelam di sini semalam.

Sebuah akhbar sebelum ini mendakwa, bekas pemain Kelantan itu bertindak membuang pingat diterimanya ke dalam tong sampah sebelum masuk ke bilik persalinan selepas perlawanan akhir Piala FA, Sabtu lalu sebagai kemuncak kekecewaannya.

Tonggak utama Johor Darul Takzim itu didakwa bertindak begitu kerana terlalu sedih dan kecewa selepas bermain bermati-matian sepanjang 90 minit perlawanan yang menyaksikan Johor Darul Takzim tewas.

Dalam pada itu, bagi mengubat kekecewaannya dan pasukan, Norshahrul berjanji akan memberikan aksi terbaik pada pertemuan terakhir Liga Super menentang Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini, esok.

Dia yang sedar perlawanan Sabtu ini penting ekoran kedua-dua pasukan mahu merebut tiket untuk beraksi di Piala AFC akan memastikan skuad Harimau Selatan mampu meraih kemenangan pada perlawanan tersebut. Utusan Malaysia

No comments: