Bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Abu Zahar Ithnin, 74, meninggal dunia di kediamannya di Merlimau di sini akibat komplikasi kencing manis dan buah pinggang kira-kira pukul 6 petang tadi.
Anak saudara Allahyarham yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Merlimau Roslan Ahmad berkata Allahyarham dimasukkan ke hospital kira-kira sebulan lepas kerana komplikasi penyakit itu.
"Allahyarham telah dibawa semula ke rumahnya dalam tiga hari lepas dan menghembuskan nafas terakhir dengan keluarga di sisinya petang tadi," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.
Roslan yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Masyarakat berkata Allahyarham mula menghidap penyakit itu kira-kira 10 tahun lepas.
"Allahyarham walaupun hanya berkhidmat sebagai Ketua Menteri Melaka selama dua tahun telah menyumbang bakti yang besar kepada negeri ini dan menjadi teladan kepada saya untuk ikuti," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment