Hiasan
Gombak : Hanya kerana tidurnya terganggu selepas anak lelakinya berusia dua tahun menangis, seorang lelaki berusia 33 tahun bertindak memukul kanak-kanak itu di kediaman mereka di Bandar Tasik Puteri, Rawang, dekat sini, kelmarin.
Tidak cukup dengan itu, isterinya berusia 29 tahun turut dibelasah lelaki terbabit selepas cuba menegur tindakannya memukul anak mereka.
Wanita itu yang tidak tahan dibelasah cuba melarikan diri namun gagal apabila suspek mengunci semua pintu rumah dan menyorokkan kunci sebelum mengurung dua anak beranak itu di dalam bilik tidur.
Mangsa yang mengalami pecah di bahagian bibir selain terseliuh tangan serta lebam di seluruh badan hanya berjaya diselamatkan sembilan jam kemudian apabila menghubungi ibunya memaklumkan kejadian terbabit sebaik suaminya keluar dari kediaman mereka.
Ibu mangsa kemudian datang bersama anggota polis kira-kira jam 12 tengah malam dan menyelamatkan dua beranak terbabit sebelum dibawa ke Balai Polis Batu Arang untuk tindakan selanjutnya.
Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, suspek yang sedang berbaring di ruang tamu rumah terdengar tangisan anak mereka tanpa henti.
“Dia yang terjaga daripada tidur terus memarahi anaknya dan menyuruh kanak-kanak itu berhenti menangis namun apabila kanak-kanak itu berterusan menangis menyebabkan dia hilang pertimbangan dan terus memukul mangsa.
“Isterinya yang terkejut dengan perbuatan lelaki terbabit menghalang dan menegur sikap panas baran suami namun suspek bagai dirasuk terus menarik rambut mangsa sebelum menamparnya beberapa kali,” katanya.
Sumber berkata, terkejut dengan tindakan suspek, mangsa merayu supaya dilepaskan dan memohon maaf namun tidak diendahkan suspek sebaliknya kepalanya di hentak ke dinding.
“Tidak cukup dengan itu mangsa dibelasah tanpa belas kasihan menyebabkan dia yang kesakitan cuba melarikan diri namun gagal apabila rambutnya ditarik sebelum dia ditolak sehingga terjatuh.
“Suspek yang tidak mempedulikan isterinya yang cedera dan berdarah di bibir terus mengunci pintu rumah dan mengurung mereka di dalam bilik tidur,” katanya.
Menurutnya, selepas membelasah mangsa, suspek kembali menyambung tidurnya sebelum dia keluar rumah beberapa jam selepas itu dan membenarkan mangsa keluar dari bilik namun dilarang keluar dari rumah.
“Si isteri yang bimbang dengan kejadian itu menghubungi ibunya memaklumkan kejadian terbabit. Ibunya yang terkejut terus bergegas memaklumkan kejadian itu kepada polis dan datang ke rumah mangsa untuk menyelamatkannya,” katanya. myMetro
No comments:
Post a Comment