Saturday 1 June 2013

PENIAGA SAYUR MAUT DITETAK

Foto

Kuala Lumpur: Seorang peniaga sayur warga Myanmar maut selepas diserang sekumpulan lelaki menggunakan parang ketika sedang menaiki motosikal bersama seorang rakannya dalam kejadian di pekarangan tempat letak kereta Pasar Borong Selayang Baru, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam itu, mangsa dikenali sebagai Nasir, 40-an, mati di tempat kejadian selepas cedera parah akibat ditetak di beberapa bahagian badan manakala rakannya mengalami cedera ringan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Othman Abu Bakar ketika dihubungi berkata, ketika kejadian, mangsa sedang menaiki motosikal bersama rakannya dan dalam perjalanan untuk ke tempat kerjanya di pasar berkenaan apabila tiba-tiba diserang sekumpulan lelaki.
“Hasil pemeriksaan awal polis, terdapat enam kesan tetakan di seluruh badan mangsa termasuk di tangan kanannya yang hampir putus.
“Dipercayai ketika kejadian ramai orang awam berada di kawasan parkir itu, namun sebaik saja melihat kejadian, mereka terus lari menyelamatkan diri,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat manakala rakan mangsa turut dihantar di hospital sama untuk rawatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh. Beliau turut meminta saksi kejadian agar tampil menyalurkan maklumat - myMetro

No comments: