Tuesday, 4 June 2013

MELISSA GOOI DITAHAN POLIS, 4 LAGI RAKAN DIBURU....



Seorang suspek wanita yang dikatakan menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di laman Facebooknya, ditahan polis hari ini.
   
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata wanita berumur 32 tahun itu ditahan di Taman Nirwana, Ampang di sini pada 9.30 pagi.





  
Tangkapan dilakukan bersabit dengan siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, katanya dalam satu kenyataan.
   
Polis turut meminta individu bernama Weennee Tan, Shuh Chien Loo, Hun Keat Wong dan Carol Tay untuk tampil membantu siasatan.
   
Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan berasingan berkata wanita berkenaan ditahan hasil kerjasama suruhanjaya itu dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia.
 
"Dia dipercayai menyembunyikan diri setelah beberapa laman blog menyebarkan identitinya," kata suruhanjaya itu yang turut meminta rakan-rakan suspek tampil membantu siasatan.
   
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan suspek juga boleh didakwa menurut Akta Hasutan 1948, kata SKMM.
   
SKMM menegaskan suruhanjaya itu memandang serius penyalahgunaan media sosial untuk memuat naik kandungan serta komen berunsur menghina terutama melibatkan institusi diraja Malaysia.
   
Beberapa laporan polis dibuat selepas komen yang dilihat menghina Tuanku Abdul Halim tersiar di laman Facebook dan Twitter susulan titah Seri Paduka melalui televisyen sempena hari keputeraan ketua negara itu pada Sabtu.  - Bernama

No comments: