KUALA LUMPUR : Moral pasukan polis daripada peringkat bawahan hingga ke ibu pejabat di Bukit Aman terganggu ekoran berita muka hadapan sepanjang tempoh dua hari ini membabitkan Ketua Polis Negara (KPN) dan Menteri Dalam Negeri yang terlibat dalam melakukan kesalahan.
Segenap pangkat malahan pegawai kanan juga mahu mendengar daripada ketua mereka sendiri mempertahankan diri ke atas pertuduhan yang dihadapinya, terutamanya KPN Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar).
"Bukan mudah menjadi seorang anggota polis dan permintaan umum sentiasa tinggi. Tapi saya sangat tidak percaya selepas membaca penemuan dalam kes Kugan," kata seorang anggota Lans Koperal yang enggan namanya didedahkan, merujuk kepada penghakiman dua hari lalu apabila hakim mengatakan Khalid bertanggungjawab ke atas tahanan yang mati di dalam lokap.
Tahanan, A. Kugan telah ditahan di balai polis Taipan Subang dan kemudiaanya telah dibelasah oleh polis serta mengalami 45 kecederaan luaran dan di bahagian dalam badan. Mangsa mati selepas buah pinggangnya tidak berfungsi akibat pukulan.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga berhadapan tekanan apabila Mahkamah Tinggi memutuskan beliau berhadapan kes untuk dibicarakan akibat tuduhan menyerang seorang lelaki yang cuba memikat anak perempuannya.
Berita sedemikan yang membabitkan peringkat tertinggi pasukan polis menggugat moral dan keyakinan, terutamanya terhadap KPN.
"Selepas saya baca dalam tempoh 24 jam, apa yang jelas ialah Khalid telah dituduh cuba menyembunyikan keadaan semasa kematian Kugan dan beliau wajar membuat penjelasan," kata Penolong Penguasa Polis kepada The Malaysian Insider semalam, juga dengan syarat namanya tidak didedahkan.
"Ia penting untuk KPN tampil dan menjelaskannya daripada berdiam diri terhadap isu sedemikan hingga menyebabkan orang awam lebih marah dan hilang keyakinan terhadap pasukan polis."
Tambahnya lagi, "Saya tidak tahu fakta sebenar atau apa yang sebenarnya terjadi dalam kes Kugan. Mungkin Khalid sendiri menerima maklumat salah daripada orang bawahannya?"
Pandangan beliau turut diulangi oleh anggota Lans Koperal yang bekerja dibawah dengan berkata: "Sebagai anggota di lapangan, kami juga menanti untuk mendengar daripada pegawai atasan terhadap apa yang sebenarnya berlaku kerana kami membaca terlalu banyak laporan negatif."
"Kami juga mahu mendengar cerita daripada Tan Sri KPN dan mendengar penjelasannya. Semua maklum balas dan komen setakat ini kami dengar sangat mengganggu motivasi," kata anggota polis itu.
Bagaimanapun, Penolong Penguasa Kanan berkata lebih baik untuk melihatnya dengan secara lebih menyeluruh.
"Memang benar Khalid bertanggungjawab kerana ketika itu beliau adalah ketua polis Selangor dan perlu menjawab ke atas semua tindakan anak buahnya.
"Jika saya ketua polis negeri, saya juga akan berada dalam keadaan sama. Tapi kita juga perlu adil sama, tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab tidak boleh dijadikan alasan untuk menukar Khalid.
"Adakah kita sentiasa memecat KPN jika anak buahnya berkelakuan tidak baik? Ia bermakna kerajaan tidak mungkin mempunyai masa lima tahun memerintah kerana perdana menteri dan menteri dalam negeri juga akan berhenti.
"Tanpa ragu-ragu Khalid wajar dipertanggunjawabkan ke atas kematian Kugan. Jika saya seorang orang awam, saya juga pasti akan marah, tapi kita mesti lihat daripada aspek keseluruhan." - Lee Shi-Ian / The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment