Tuesday 11 June 2013

BN FAILKAN PETISYEN PARLIMEN LEMBAH PANTAI DAN BATU, ISU 'HEAVYWEIGHT' BUKAN TUJUAN POLITIK


Kes salah laku melibatkan Naib Presiden PKR Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar merupakan antara isu ‘heavyweight’ yang difailkan di dalam petisyen Barisan Nasional (BN), demikian menurut Penasihat Undang-undang Umno, Datuk Mohd Hafarizam Harun.

“Di Parlimen Batu melibatkan YB Tian Chua dikatakan hilang kelayakan untuk bertanding. Manakala di Parlimen Lembah Pantai lebih kepada taktik berkempen melampau YB Nurul Izzah menentang Datuk Raja Nong Chik,” katanya ketika dihubungi Antarapos.
Tian Chua sebelum ini dikatakan hilang kelayakan sebagai calon apabila terlibat dalam satu dakwaan kes jenayah berikutan suatu perhimpunan awam dan telah dikenakan denda sebanyak RM 2,000.
Manakala Nurul Izzah pula didakwa menggunakan taktik kotor serangan peribadi terhadap pesaingnya di Parlimen Lembah Pantai, Raja Nong Chik berkaitan isu pembelian tanah dan harta, selain menuduh bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu sebagai rasis.
Mengulas lanjut, Hafarizam berkata, kesemua petisyen yang difailkan BN berasaskan kepada fakta dan bukti kukuh dan tidak menjadikan jumlah petisyen difailkan Pakatan Rakyat yang sebagai satu isu besar.
“BN pada mulanya nak failkan 50, tapi selepas kita adakan mesyuarat bersama peguam-peguam BN seluruh Malaysia, kita lihat secara fakta dan aduan serta bukti yang ada, kita telah kurangkan kepada 21. Atas alasan kita mahukan kes yang ada asas untuk dibicarakan dan bukan atas tujuan politik.
“Kedua ialah dalam 21 petisyen, ada satu petisyen tidak melibatkan fakta, rasuah atau perjalanan PRU. Tetapi melibatkan intepretasi undang-undang sama ada (seseorang) layak menjadi Ahli Parlimen atau tidak.
“Maknanya petisyen ini bukan nak tunjuk kita tak puas hati sebab kalah, tetapi mahu undang-undang tidak dipandang remeh, sebaliknya kelayakan menjadi calon parlimen atau DUN adalah paling utama sebelum seseorang dilantik,” katanya lagi.
Jelas Hafarizam lagi, BN mempunyai lima alasan kukuh mengapa petisyen difailkan iaitu mahu membuktikan pembangkang terlibat dalam kegiatan rasuah dan taktik menakut-nakutkan pengundi dengan cara tidak wajar.
“Ketiga, tentang perjalanan PRU yang dibuat SPR tak mematuhi piawaian undang-undang. Keempat berkenaan kertas undi rosak ditolak tanpa mengikut alasan seperti dalam peraturan perjalanan PRU. Kelima berkaitan kelayakan seseorang menjadi calon.”
Terdahulu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur pada hari ini mengumumkan BN memutus untuk memfailkan 21 petisyen Plihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Jelasnya BN tidak mahu membangkitkan isu remeh di mahkamah, selain yakin petisyen yang difailkan itu mempunyai asas kukuh serta merit yang wajar untuk dipertimbangkan.
PKR, PAS dan DAP memfailkan sebanyak 35 petisyen, meliputi 25 petisyen kerusi parlimen dan 10 petisyen kerusi Dewan Undangan Negeri PRU13  -  Antarapos 

No comments: