Monday 6 May 2013

MUKHRIZ MENTERI BESAR KEDAH KE - 10



Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu di Istana Anak Bukit di sini.

Mukhriz, 49, yang merupakan Menteri Besar Kedah ke-10 selepas merdeka, melafazkan sumpah memegang jawatan itu di hadapan anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang dipengerusikan Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Turut hadir dua anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dan Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Hadir sama pada majlis itu adalah bapanya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan ibunya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Pengerusi BN Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan isteri Mukhriz Datin Norzieta Zakaria.

Bekas Menteri Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak hadir kerana dipercayai kurang sihat.

Pada PRU13 Ahad, BN memenangi 21 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membentuk kerajaan.

Pada PRU13, Mukhriz memenangi kerusi DUN Ayer Hitam menewaskan Abd Ghani Ahmad daripada PAS dengan majoriti 2,446 undi.

Pada PRU12, beliau memenangi kerusi Parlimen Jerlun dan setelah Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri pada 2009, Mukhriz dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Mukhriz berkata beliau terharu dengan pelantikan itu yang dicadangkan oleh Najib, selaku Pengerusi BN.

"Alhamdulillah majlis pelantikan Menteri Besar Kedah berjalan lancar. Watikah pelantikan telah diserahkan kepada Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan mendapat perkenan Tunku Bendahara (Tunku Annuar). "Saya bersedia untuk menggalas cabaran sebaik mungkin," katanya.

-- BERNAMA

No comments: