Bekas mufti Perlis didalam laman Twitternya hari ini membidas kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menyifatkan pihak yang mengadakan demonstrasi di jalanraya sebagai penderhaka.
Asri juga dengan secara terbuka mempersoalkan berapa harga fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Perak tersebut yang selama ini dilihat menyebelahi pihak kerajaan.
Sebelum ini, Tan Sri Harussani mengeluarkan kenyataan bahawa mana-mana pihak yang cuba menentang kerajaan yang sah boleh dianggap sebagai penderhaka kepada negara. Beliau juga menganggap mereka yang tidak berpuas hati sepatutnya guna saluran betul iaitu mahkamah dan bukan melakukan demonstrasi di jalan raya.
"Sebarang usaha untuk menentang kerajaan yang sah, itu namanya penderhaka. Menentang secara aman pun dianggap sebagai penderhakaan kepada negara.“Apatah lagi, jika ada yang mahu melakukannya dengan keganasan. Kalau tidak puas hati, failkan petisyen ke mahkamah. Mengapa mahu tunjuk perasaan?” katanya semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas usaha sekumpulan NGO pro-pembangkang yang mahu mengadakan protes jalanan besar-besaran sekiranya pegawai kanan SPR tidak meletak jawatan.
Sabtu lalu, penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard menyeru rakyat Malaysia menjadi sukarelawan ‘Suara Rakyat 505' untuk menggesa pimpinan SPR meletakkan jawatan.
Kayanya, gerakan itu akan ke ibu pejabat SPR di Putrajaya bagi menuntut peletakan jawatan pimpinan badan tersebut.
Beliau turut mendakwa, selagi kedua-dua pentadbir tertinggi SPR tidak meletak jawatan, rakyat akan terus bersama PR membuat tuntutan tersebut melalui himpunan.
Menurut Harussani, mereka yang terlibat perlu dikenakan tindakan keras sekiranya ia ke tahap menggugat ketenteraman awam.“Kalau sampai mengancam nyawa orang lain, itu sudah tergolong dalam dosa besar. Mereka perlu bertaubat segera,” katanya. ~ MPP News
No comments:
Post a Comment