Saturday 18 May 2013

JANGKITAN KUMAN PUNCA KETUA PEMUDA UMNO BAHAGIAN BAGAN SERAI KOMA....

Ketua Pemuda Umno koma
Keadaan Sharudin yang terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping sambil ditemani isteri dan ahli keluarga.

BAGAN SERAI - Ketua Pemuda Umno bahagian Bagan Serai, Sharudin Ahmad dilaporkan koma sejak kelmarin dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping kerana mengalami masalah jangkitan kuman.

Calon Barisan Nasional (BN) Dun Selinsing pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) itu  dipindahkan ke hospital berkenaan petang kelmarin untuk rawatan lanjut selepas menerima rawatan awal di Hospital Columbia Asia sebelum itu.

Ketua Umno bahagian Bagan Serai, Datuk Zaili Cha berkata, berdasarkan perbualan dengan ahli keluarga, Sharudin dikatakan mengalami demam panas sejak lima hari lalu sebelum memutuskan untuk menerima rawatan di Hospital Columbia Asia, pagi kelmarin.

“Doktor yang merawat Sharudin mengesahkan beliau mengalami jangkitan kuman dan keadaannya semakin kritikal apabila kuman merebak ke jantung dan buah pinggang.

“Saya turut difahamkan Sharudin menghadapi detik mencemaskan apabila degupan jantungnya terhenti sementara sebelum dapat digerakkan kembali oleh doktor,” katanya sewaktu ditemui media di Hospital Taiping, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat; Bendahari Umno bahagian, Zaini Cha; Naib Ketua Umno bahagian Parit Buntar, Abu Bakar Md Ali dan Ketua Wanita Umno bahagian, Hasmah Hashim.

Kata beliau, degupan jantung Sharudin terhenti mungkin disebabkan kandungan potassium dalam badan terlalu tinggi iaitu menjangkau bacaan 8, namun bersyukur kerana tuhan masih memanjangkan nyawanya dan keadaannya kini semakin stabil.

Jelasnya, apabila keadaan Sharudin semakin stabil, beliau terpaksa dipindahkan ke Hospital Taiping bagi membolehkannya menerima rawatan dialisis untuk mencuci darah kotor akibat dijangkiti kuman.

“Keadaan Sharudin kini difahamkan stabil, bagaimanapun doktor memutuskan untuk ‘menidurkannya’ seketika bagi membolehkan beliau mendapat rehat secukupnya,” katanya.

Sepanjang perkhidmatannya dalam bidang politik, Sharudin dianggap antara pemimpin muda yang agresif dan progresif di Perak terutama dalam memfokuskan pada program memperkasakan belia di Kerian.

Sharudin yang bertanding di Dun Selinsing pada PRU13 buat kali pertama tewas di tangan penyandang kerusi itu, Husin Din dengan majoriti  809 undiSUMBER

SEMOGA CEPAT SEMBUH..... DAN ALLAH PERMUDAHKAN SEGALANYA....

No comments: