Saturday, 18 May 2013

ANWAR IBRAHIM GANGSTER, TAK MATANG - OMARDIN


Pengerusi Majlis Pendekar Malaysia (MPM), Tan Sri Omardin Mauju menyifatkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang pemimpin politik yang tidak matang.

"Dia (Anwar) bukannya pemimpin politik yang matang tetapi seorang pemimpin yang gengster.


"Kesalahan besar Anwar sekarang suka ajak orang bergaduh, lihatlah anak-anak muda sekarang berani berarak ke sana sini.

"Dia kata keputusan PRU-13 lalu satu penipuan, sedangkan Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor mereka (pembangkang) dapat. Dia cakap perkara tak betul," katanya.

Dalam pada itu, Omardin menyeru seluruh rakyat khususnya umat Melayu di negara ini kembali bersatu bagi memastikan agenda perjuangan bangsa dan agama dapat diteruskan.

Beliau berkata, penyatuan umat Melayu kini amat penting dan perlu disegerakan ekoran senario politik semasa dalam negara yang semakin membimbangkan.

"Saya sendiri berada di semua negeri sepanjang PRU-13 dan saya dapat melihat perubahannya.

"Kebanyakan mereka yang melakukan perubahan itu adalah kumpulan yang tidak tahu ucap terima kasih kepada kerajaan, padahal mereka sebelum ini sudah banyak mendapat bantuan daripada kerajaan.

"Jika perkara ini terus berlaku, mungkin pada pilihan raya akan datang kestabilan dan keharmonian negara akan terjejas," katanya.

Mengenai perkembangan silat lincah, Omardin memberitahu, Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO) yang menjadi mercu tanda kebanggaan warga Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) kini hampir siap dan hanya menunggu masa untuk dirasmikan.

Beliau yang juga pengasas PSSLM berkata, kompleks tersebut yang bernilai lebih RM6 juta dibina sejak 2010 di Pinggiran Batu Caves dan mampu memuatkan kira-kira 3,000 orang.

"Kompleks ini dilengkapi pejabat, dewan utama, dua gelanggang persilatan, kafe, gelanggang futsal, kafe siber dan rumah rehat bercirikan tradisional Melayu," ujarnya.

Sehingga kini, PSSLM yang telah menjangkau usia lebih daripada 50 tahun mempunyai 1.2 juta ahli di seluruh Malaysia.

No comments: