Tuesday 16 April 2013

ZUL NOORDIN TEKAD TUMBANGKAN PEMBANGKANG DI SHAH ALAM


SHAH ALAM - Bekas anggota Parlimen Bebas Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin bertekad untuk menumbangkan calon pembangkang di Parlimen Shah Alam bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menakluk kembali Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).


Beliau percaya kejatuhan pembangkang di Shah Alam, yang merupakan ibu negeri Selangor dan paksi kepada kekuatan sesebuah kerajaan negeri di sini, bakal membuka jalan yang cukup luas bagi BN merampas kembali Selangor daripada tangan pembangkang.

"Saya cukup yakin dengan sokongan yang ditunjukkan jentera BN di sini, kita akan jatuhkan calon pembangkang di Shah Alam dan mengembalikan Selangor kepada BN. Saya bersama jentera BN akan merangka strategi terbaik memastikan kemenangan
BN," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak selaku Pengerusi BN Selangor hari ini mengumumkan bahawa Zulkifli yang juga Naib Presiden Perkasa sebagai 'calon rakan BN' di Parlimen Shah Alam di sini.

Kerusi Parlimen Shah Alam disandang Abdul Khalid Samad daripada Pas apabila memperoleh 33,356 undi berbanding calon BN, Abdul Aziz Shamsuddin yang mendapat 24,042 undi pada PRU12 2008.

Ditanya mengapa bertanding di bawah tiket BN, Zulkifli hanya menjawab ringkas: "hanya BN yang mampu membela nasib rakyat", tanpa menjelaskannya dengan terperinci.

Mengulas kedudukan pencalonannya pada PRU13 sama ada menjadi calon bebas atau bakal menyertai Umno dan BN selepas ini, beliau menjawab: "Buat masa ini saya di bawah BN, sebagai calon BN,".

Ketua Umno Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi M Zin yang dinamakan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri Batu Tiga di sini menyifatkan Zulkifli sebagai aset berharga yang dapat memastikan kemenangan BN di Shah Alam.

"Kami di peringkat akar umbi akur dengan keputusan Presiden (Najib) dan akan memberikan sokongan penuh dan padu di Parlimen Shah Alam kepada beliau (Zulkifli).

"Akar umbi yakin Zulkifli merupakan calon terbaik bagi merampas kembali Parlimen Shah Alam dan percaya sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat, beliau dapat membawa perubahan besar kepada Shah Alam nanti," katanya. - Bernama

1 comment:

Anonymous said...

pegi jahanam dengan UMNOOOO