Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menyaman Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa kerana memfitnah jabatan itu telah memecat beberapa Ahli Jawatankuasa (AJK) sebuah surau di Putrajaya.
Pengarah JAWI, Datuk Che Mat Che Ali pada sidang media di Putrajaya Jumaat, berkata, dakwaan itu yang dibuat oleh Husam di sebuah laman sosial adalah tidak benar.
“Pihak kami memang ada memanggil AJK surau berkenaan dan saya telah menasihatkan bahawa masjid dan surau adalah rumah Allah yang harus dijaga kesuciannya dan tidak boleh dinodai oleh sesiapa.
“Saya juga mengingatkan mereka mengenai surat pekeliling yang saya edarkan kepada semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan pada September 2011 berhubung larangan masjid atau surau digunakan untuk tujuan politik.
“Saya tidak memecat sesiapapun. Kenyataan itu adalah satu fitnah. Saya sudah mengarahkan pegawai JAWI membuat laporan polis dan kami juga akan menyaman Husam,” katanya.
Che Mat berkata dia dimaklumkan bahawa Husam telah hadir ke Surau Abdul Rahman Auf di Presint 11, Putrajaya pada 20 April lalu dan menunaikan solat Isyak dan berjemaah di situ.
Katanya kehadiran Husam di surau berkenaan bukan atas jemputan sesiapa dan AJK surau itu juga tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripadanya. Selepas solat Husam telah menyampaikan tazkirah selama lima minit.
Berikutan itu katanya, pada 24 April JAWI telah memanggil AJK surau berkenaan untuk memberi penjelasan. Dalam pertemuan itu, pengerusi surau, Wan Nazeri memaklumkan dia tidak berada di surau pada hari kejadian dan tidak pasti siapakah AJK dan imam yang ada pada waktu itu.
Husam menerusi kenyataan dalam Facebook mendakwa Jawi telah memecat AJK Surau Abdul Rahman Auf di Presint 11, selepas mereka membenarkannya bertaaruf dengan makmum surau, selepas solat Isyak pada 20 Apri1 lalu. Ada juga individu yang mendakwa kononnya sejak AJK itu dipecat, azan tidak kedengaran. Kata Che Mat, dakwaan itu juga adalah satu fitnah.
Husam menerusi kenyataan dalam Facebook mendakwa Jawi telah memecat AJK Surau Abdul Rahman Auf di Presint 11, selepas mereka membenarkannya bertaaruf dengan makmum surau, selepas solat Isyak pada 20 Apri1 lalu. Ada juga individu yang mendakwa kononnya sejak AJK itu dipecat, azan tidak kedengaran. Kata Che Mat, dakwaan itu juga adalah satu fitnah.
Menurut Che Mat, berdasarkan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan (Akta 505), sebagai setiausaha MAIWP, dia diberi kuasa dan bertanggungjawab untuk memelihara kesucian rumah Allah.
“Majlis mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang kepada semua anak kariah atau sesiapa sahaja yang menggunakan masjid atau surau untuk kepentingan individu atau politik. Sehubungan itu pihak masjid dan surau tidak dibenarkan menggunakan masjid untuk apa-apa juga aktiviti tanpa keizinan bertulis daripada setiausaha majlis,” katanya.
Che Mat berkata, di bawah Akta Kesalahan jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559), Seksyen 97, sesiapa yang bertindak dengan cara yang menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari perintah atau arahan Yang diPertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam, Majlis atau Mufti, adalah melakukan kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Di bawah Seksyen 11 (1) akta yang sama, sesiapa yang mengajar atau mengaku mengajar apa-apa perkara berhubung agama Islam tanpa tauliah adalah melakukan kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Saya merayu semua orang yang mahu menggunakan surau atau masjid di Wilayah Persekutuan supaya tidak sewenang-wenangnya melanggar akta ini demi menjaga keharmonian. Masjid atau surau tidak harus dinodai dan dijadikan gelanggang politik,” katanya. – 27/4/13
OLEH NOOR HASILAH ISMAIL
No comments:
Post a Comment