Sunday, 24 March 2013

7 DOSA BESAR KEDUA SUBKY LATIF.......


Mohd Lutfi Myiddin – Saya merujuk tulisan Subky Latif di dalam Harakah Daily bertarikh 21.03.2013 bertajuk “Tujuh Dosa Besar Kedua”.
Di dalam artikel ini, Subky Latif cuba mengaitkan parti pemerintah dengan “tujuh dosa besar” sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W di dalam sebuah hadis. Tindakan Subky ini adalah sebagai respon beliau terhadap ucapan YAB PM yang menyatakan ada tujuh dosa besar yang dilakukan oleh kerajaan Pas Kelantan terhadap rakyat negeri itu.
YAB PM tidak pernah mengaitkan tujuh dosa itu dengan tujuh dosa besar yang disebut oleh Rasulullah, tetapi seperti biasa pemimpin dan hulubalang Pas sememangnya tebal dengan sangkaan-sangkaan buruk lalu mengandaikan PM telah merujuk kepada hadis itu dan menuduh kerajaan Pas Kelantan termasuk dalam kumpulan orang-orang yang diterangkan di dalam hadis berkenaan.

Seterusnya Subky telah bertindak selangkah ke hadapan. Beliau menukilkan hadis berkenaan, memperjelaskan dosa-dosa besar itu dan menghubungkaitkannya dengan pemimpin BN. Tidak mengapalah. Jika Subky boleh, saya juga boleh!
Dosa yang pertama, syirik kepada Allah. Subky mengakui di kalangan orang Islam di dalam BN, tiada yang menyembah batu dan berhala, perbuatan yang menunjukkan kesyirikan yang jelas. Tetapi beliau mengaitkan tindakan kerajaan BN tidak melaksanakan hudud sebagai tindakan melawan perintah Allah, dan ini boleh menjatuhkan kepada syirik.
Mengambil hujah Subky, alangkah ramainya manusia yang syirik di seluruh dunia. Di kalangan negara-negara Islam, cuma Arab Saudi sahaja yang melaksanakan hudud, maka rakyat negara-negara lain yang mendokong kerajaan mereka tentulah berhadapan dengan syirik juga.
Mudah sungguh Subky menjatuhkan hukum. Pun begitu, Subky terlupa atau buat-buat lupa. Pas Selangor juga melawan perintah Allah. Allah haramkan arak. Pas Selangor tidak mematuhi perintah itu, dibiarkan sahaja arak dijual bebas di kedai-kedai 7-Eleven kerana takut dengan sergahan DAP.
Apakah DAP lebih berkuasa dari Allah? Tidak syirikkah itu? Saya tidak menuduh Pas syirik hanya kerana tidak berkemampuan mengawal penjualan arak di Selangor. Tapi mengapa Subky berkokok berderai-derai sedangkan ekor Subky dicemari tahi?
Rujuk juga kisah Pas Kedah yang membatalkan keputusan penutupan pusat hiburan dan karaoke di bulan Ramadan. Kesimpulannya sama, Pas takutkan DAP, lebih dari takutkan Allah!
Dosa kedua, membunuh manusia lain tanpa haq. Secara halus, Subky cuba mengaitkan kes Altantuya yang dipalitkan kepada PM. Saya berdoa semoga Subky segera bertaubat. Andai palitan itu palsu dan Subky mati tanpa sempat bertaubat, PM Najib bolehlah menuntut pembalasan di mahkamah mahsyar nanti.
Dosa ketiga, sihir. Sekali lagi Subky mengaku tiada perkaitan jelas antara penyokong BN dengan sihir. Tetapi dia masih sempat merujuk kepada budaya menemui bomoh untuk mengetahui tarikh pilihanraya. Soalnya, siapakah yang melakukan perbuatan itu (jika ada)? Semata-mata BN, atau di kalangan PR pun ada?
Di dalam kertas putih mengenai peristiwa Memali, disiarkan gambar-gambar puak Ibrahim Libya yang meninggal dan yang ditangkap. Di antara mereka ada yang bertangkal. Tidakkah itu mendekati khurafat, kalau pun masih tidak dikatakan sihir?
Dosa keempat, makan riba. Subky menjulang kerajaan negeri Kelantan kerana memindahkan akaun simpanan tetapnya ke Bank Islam sebaik menerajui kuasa 22 tahun yang lalu. Alhamdulillah, itu keputusan yang tepat.
Namun setelah 22 tahun, hanya itulah yang mampu diwar-warkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan mengenai kecekapan mereka menerajui ekonomi negeri. Ada pun projek-projek ekonomi yang dicanangkan selepas itu, antaranya projek tanaman depu, projek kambing jamnapari sehinggalah kepada projek carigali emas, semuanya gagal dan terbengkalai.
Projek Ladang Rakyat lebih terkenal dengan isu merampas tanah orang kampung. Manakala pembinaan lebuh raya hanyalah dijadikan alasan untuk mengutip derma!
Ketidakcekapan pengurusan ekonomi menyaksikan puluhan ribu anak muda Kelantan berhijrah mencari makan di negeri orang. Pemimpin Pas Kelantan beri alasan, orang Kelantan memang sifatnya suka berhijrah. Dan dengan alasan itu, apakah mereka dikira terlepas dari tanggungjawab membangunkan ekonomi negeri? Jawablah di hadapan Allah nanti.
Dosa kelima. makan harta anak yatim. Sungguh jauh pandangan Subky apabila mengaitkan kegagalan kerajaan negeri Kelantan menuntut royalti sebagai dosa makan harta anak yatim yang dilakukan oleh kerajaan pusat. Kononnya royalti itu antara lain turut terdapat hak anak-anak yatim di Kelantan, maka menahan pemberiannya dikira mengambil harta anak yatim. Bukankah isu royalti ini telah dibawa ke mahkamah.
Tunggulah keputusan mahkamah nanti. Jika benar Kelantan ada hak dan hal yang sedemikian disahkan oleh mahkamah barulah kerajaan Pas Kelantan boleh berkokok jika kerajaan pusat tidak membayarnya. Belum pun ada keputusan mahkamah, Husam sudah pun memasukkan royalti sebagai hasil pendapatan negeri untuk belanjawan tahun hadapan.
Alangkah terdesaknya mereka mencari duit!
Mohon juga Subky membaca buku C.N.Afghani, tentang tabung anak yatim Memali yang disonglap oleh pimpinan Pas. Kalau isu royalti boleh Subky kaitkan dengan dosa makan harta anak yatim, isu tabung Memali kenapa Subky buat-buat tak menegerti?
Dosa keenam, lari dari peperangan. Subky kata negara kita belum ada sejarah peperangan. Maka tidak timbul isu lari dari peperangan. Di dalam kes Lahad Datu, Subky menempelak kerajaan kerana lambat bertindak. Tidak lari, tetapi lambat, kata Subky. Suka saya kongsikan dengan Subky, jika lari dari peperangan sudah dikira dosa besar, maka ringankah dosa orang yang bertanggungjawab mencetuskan peperangan?
Jika Subky boleh menuduh Najib terlibat dalam kes Altantuya, saya juga boleh mengesyaki penglibatan Anwar memprovokasi kaum Sulu Filipina untuk menyerang Malaysia.
Dosa ketujuh, menuduh wanita baik berzina. Subky kata belum kedengaran mana-mana muslimah yang dituduh berzina. Namun ada “orang tertentu” didakwa atas ikut budaya kaum Lut, tetapi belum disabitkan. Kiranya mengikut Subky, menuduh “orang tertentu” sebagai pengamal homoseksual” itu ada irasnya dengan dosa ketujuh ini.
Insya Allah, kita sama-samalah berdoa semoga kebenaran tentang “orang itu” akan didedahkan oleh Allah.
Sambil itu, saya menyarankan Subky belek-belek juga akhbar Harakah yang lama-lama. Akan beliau temui artikel Harakah yang menuduh Ummi Hafilda sebagai pelacur, dan Ummi menang kes samannya terhadap Harakah.
Mungkin Subky berpendapat Ummi Hafilda bukan wanita baik, tidak sebaik Abby Abadi. Namun tuduhan yang dibuktikan oleh mahkamah sebagai palsu tetaplah satu fitnah.
Telah terakam di dalam sejarah Malaysia, sebuah akhbar yang mendakwa menjunjung prinsip Islam terbukti memfitnah!

No comments: