KUALA LUMPUR, 15 Feb – Pakatan pembangkang sudah menjadikan tohmahan dan fitnah sebagai sebahagian dari agenda politik mereka dengan berterusan menyalahkan pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) atas apa saja yang berlaku termasuklah penglibatan pakar dari luar negara, kata Ketua Penerangan MIC, Datuk V.S.Mogan
Ujarnya, pakatan pembangkang sudah sebati dalam permainan sandiwara untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) sebagaimana pada 2008 dan menjelangnya PRU ke-13 ini maka ia akan dilaksanakan berterusan sebagai taktik politik mereka.
“Ini adalah agenda jahat mereka dalam berdepan kepimpinan BN yang sememangnya telah terbukti berjaya melaksanakan tanggungjawab dan menunaikan janji kepada rakyat berbanding dengan mereka yang gagal merealisasikan manifestonya, dan propaganda jahat sedemikian sengaja diada-adakan untuk memburukkan imej BN,” katanya kepada UMNO-Online.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Sembilan berkata demikian dalam mengulas penafian Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berhubung kononnya mempunyai kaitan menghalang pakar forensik Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand melakukan bedah siasat kedua ke atas C Sugumaran sebagaimana yang didakwa oleh Naib Presiden PKR, N Surendran.
Laporan beberapa portal berita memetik pemimpin PKR itu mendakwa Najib telah berkomunikasi dengan Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra sehingga mereka memutuskan supaya Pornthip tidak perlu melakukan bedah siasat tersebut agar tidak menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara.
Dalam kejadian 23 Januari lepas, Sugumaran yang dipercayai mengalami masalah mental, dilaporkan mengamuk lalu merosakkan harta benda awam dengan menggunakan palang besi serta bertindak agresif ketika cuba ditahan oleh anggota polis dan digari sebelum dia tiba-tiba rebah dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
“Perdana Menteri telah nafikan bahawa ini adalah dakwaan yang tidak berasas dan tentunya keadaan tersebut sengaja diwujudkan bagi menggangu kelancaran BN melaksanakan tanggungjawabnya serta cuba mengalihkan tumpuan rakyat kepada perkara-perkara negatif sedemikian.
“Tindakan terancang ini adalah sama sebagaimana pakatan pembangkang mempropagandakan insiden sambutan Tahun Baru Cina di Pulau Pinang baru-baru ini dengan kononnya rakyat menolak BN apabila Perdana Menteri bertanyakan soalan ‘are you ready for BN’ sedangkan jawapan rakyat adalah ‘yes’ tetapi mereka melakukan penipuan,” tegasnya.
Ujar beliau lagi, pakatan pembangkang sengaja mencari helah dan melaksanakan perancangan untuk merosakkan imej Perdana Menteri dalam melakukan apa jua usaha kepada rakyat malah pemakaian baju tradisional Cina dalam poster ucapan Selamat Tahun Baru Cina juga dianggap negatif dengan kononnya Perdana Menteri memakai baju semasa kematian.
“Apa sahaja yang dilakukan oleh BN dan kepimpinan tertingginya akan dipersalahkan sedangkan pakaian Datuk Seri Najib adalah lambang pemahaman seorang pemimpin tertinggi terhadap budaya masyarakat Cina serta tidak ada kaitan dengan agama malah ia telah menjadi sebahagian kebudayaan masyarakat di Malaysia ini.
“Pakatan pembangkang melihat BN sebagai bahan untuk dipersalahkan dan dianggap tidak betul sedangkan mereka tidak dapat berdepan realiti yang dipaparkan oleh kepimpinan parti ini yang semakin cemerlang dari hari ke hari, dan mereka juga sebenarnya sedar bahawa agenda BN mendapat perhatian umum.”
Jelasnya, setiap apa yang dilaksanakan oleh kerajaan akan diputarbelitkan sebagaimana apabila Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diteruskan maka pembangkang melempar tohmah kononnya kerajaan akan bankrap tetapi apabila pengagihannya dilaksanakan dengan telus termasuk ahli-ahli parti pembangkang juga maka tidak pula dipertikai.
“Sehingga ke hari ini tidak ada yang menolak pelaksanaan pemberian BR1M dan anggota pakatan pembangkang tidak pula memulangkannya atau mengumpulkan kembali untuk memajukan sesuatu kawasan atau diagihkan kepada negara. Ini sengaja diperbesarkan dengan agenda negatif.”
Dalam masa yang sama, beliau melahirkan keyakinan terhadap masyarakat yang ternyata bijak melaksanakan penilaian dengan melakukan perbezaan antara pakatan pembangkang dan kerajaan BN.
“Kita dapat tangkis semua tohmahan pembangkang yang sememangnya sejak 2008 telah melakukan serangan buruk dalam bentuk fitnah kepada BN tetapi ternyata kemenangan akan tetap berpihak kepada yang benar dan kepalsuan tidak akan mendapat tempat.” - MediaUMNO
No comments:
Post a Comment