Wednesday, 23 January 2013

SADIS..!!! DIDERA BAPA TIRI SEHINGGA HILANG INGATAN.....

Kesan dera di bahagian belakang badan Shafiq. Pic: Harian Metro
SHAFIQ

KUALA LUMPUR : Seluruh kepala serta badan dipenuhi parut dan dia turut hilang ingatan. Itu kesengsaraan dialami seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun akibat didera bapa tirinya sejak lebih tujuh tahun lalu. 
Berdasarkan kesan kecederaan pada tubuhnya, kanak-kanak etnik Rohingya dikenali sebagai Shafiq itu dipercayai didera dengan dicucuh api puntung rokok, ditekap pisau panas, dipukul dengan kayu, wayar, tali pinggang, selain disepak terajang tanpa belas kasihan.

Akibat penderaan berterusan untuk tempoh panjang itu, Shafiq kini hilang ingatan dan menjalani rawatan hospital sebelum ditempatkan di sebuah rumah anak yatim di Selayang, dekat sini.

Dia diserahkan ke rumah anak yatim itu oleh wakil Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang berpejabat di Kuala Lumpur, semalam.

Menerusi maklumat diberikan kepada jurubahasa, Nasaruddin Shamsuddin, kerana Shafiq tidak fasih berbahasa Melayu, kanak-kanak itu hanya mengingati beberapa fakta secara umum disebabkan ingatannya terjejas berikutan trauma dialami terlalu teruk akibat kesan penderaan.
Nasaruddin berkata, Shafiq memberitahu dia mula didera bapa tirinya sejak berusia tiga tahun selepas ditinggalkan abu dan abangnya yang dipercayai melarikan diri ke Thailand.
"Shafiq menceritakan bapa tirinya menganggap dia nakal lalu sering membelasahnya dengan kayu, wayar elektrik dan tali pinggang.
"Selain itu, badannya selalu dicucuh puntung rokok yang masih bernyala selain ditekap dengan pisau panas. Malah, dia turut dicampak ke dinding dan disepak terajang," katanya.
Menurutnya, walaupun Shafiq merayu supaya tidak diperlakukan sedemikian, rayuannya tidak diendahkan sebaliknya lelaki itu mendera Shafiq sehingga meninggalkan parut di seluruh badan.
"Shafiq berjaya melarikan diri dari rumah bapa tirinya dan berkeliaran tanpa hala tuju sebelum diselamatkan orang awam yang menghantarnya ke sebuah hospital bulan lalu.
"Sejak itu, Shafiq yang hilang separuh ingatan menerima rawatan selama sebulan, tapi dia gagal memberitahu di hospital mana dia dirawat," katanya.
Nasaruddin berkata, pihak pengurusan hospital berkenaan memaklumkan kes Shafiq kepada UNHCR dan sejak sebulan lalu, kanak-kanak itu ditempatkan di sebuah rumah kebajikan di ibu negara dan dipantau UNHCR.
Semalam, Shafiq diserahkan pula untuk jagaan di sebuah rumah anak yatim di Selayang oleh UNHCR dengan bantuan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Sementara itu, pengetua rumah anak yatim berkenaan Hafiz Hashim Qassim berkata, pihaknya sudi menerima Shafiq kerana bersimpati dengan nasibnya.
"Segala keperluan pelajaran Shafiq akan disediakan sama seperti kanak-kanak lain yang menetap di sini. Saya anggap ini satu kerja amal dan tidak mengharapkan balasan," katanya.
Jurucakap NGO berkenaan pula berkata, pihaknya dihubungi UNHCR yang meminta bantuan mencari tempat tinggal untuk Shafiq lalu mereka mencadangkan rumah anak yatim berkenaan yang turut menempatkan ramai kanak-kanak etnik Rohingya.
- Harian Metro

No comments: