Tertekan dikepung sepasukan polis, seorang pengedar dadah bertindak nekad melemparkan bom tangan ke arah dua kenderaan polis yang berjaya memintasnya di hadapan simpang masuk ke Bukit Merah Laketown Resort, di Gunung Semanggol, pagi semalam.
Bagaimanapun, bom tangan yang dibaling suspek tidak meletup, sebaliknya dia ditembak mati seorang anggota polis ketika hendak melarikan diri ke dalam semak-samun berhampiran lokasi kejadian, kira-kira jam 10.30 pagi.
Sumber polis berkata, lebih kurang jam 10 pagi, sepasukan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pergi ke rumah suspek di Kampung Dew, Taiping untuk menahannya sebelum dia bertindak melarikan diri menaiki sebuah kereta Honda Accord putih.
Menurutnya, polis bertindak mengekori kenderaan suspek dengan dibantu sebuah kenderaan polis jenis pacuan empat roda hingga ke kawasan kejadian sebelum suspek bertindak melepaskan tembakan ke arah polis. “Adegan tembak-menembak mula berlaku di antara suspek yang berusia lingkungan 40-an dengan anggota polis ketika kejar-mengejar sebelum kenderaan dipandunya berjaya dipintas ketika tiba di lokasi kejadian.
“Sebaik dipintas, anggota polis terlibat mengarahkan suspek keluar dari kenderaan dinaiki dan menyerah diri,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian, semalam.
Bagaimanapun, keadaan sebaliknya berlaku apabila suspek keluar dari kenderaan dan menembak ke arah polis sebelum adegan tembak-menembak kedua berlaku di situ.
Suspek habis peluru nekad lempar bom tangan arah polis
SUMBER polis menjelaskan, suspek yang berkemungkinan tidak sempat mengisi semula peluru bertindak nekad melemparkan bom tangan ke arah pasukan polis terbabit secara tiba-tiba.
Terkejut dengan tindakan suspek, tiga anggota polis yang mengekorinya terus melarikan diri ke tempat lebih selamat bersama beberapa orang awam.
Bagaimanapun, menurutnya, bom tangan yang dilontar tidak meletup dan seorang anggota polis bertindak melepaskan lebih kurang tujuh tembakan ke arah suspek yang cuba melarikan diri.
“Suspek yang sedang berlari ke arah semak-samun berhampiran akhirnya rebah dan mati serta-merta setelah salah satu peluru yang dilepaskan mengenai badannya.
“Bom tangan yang tidak meletup itu dimusnahkan oleh skuad pengesan bom lebih kurang jam 2 petang setelah lokasi kejadian dikosongkan,” katanya.
Beberapa jenis dadah, dua pistol berserta peluru ditemui
SUMBER polis berkata, kejadian tembak- menembak itu menyebabkan sebuah kenderaan dinaiki pasukan polis berkenaan dipenuhi kesan peluru yang ditembak suspek.
“Selain itu, siasatan polis menjumpai dua pistol bersama beberapa peluru, pisau dan beberapa jenis dadah dalam kenderaan dinaiki suspek.
“Polis masih lagi menyiasat kes ini dan ianya diserahkan ke IPD Kerian untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian dan menegaskan kes itu masih dalam siasatan.
Adegan tembak-menembak disangka penggambaran filem
SAKSI kejadian yang ditemui menyangka adegan tembak-menembak berkenaan adalah sesi penggambaran filem yang dijalankan di kawasan itu.
Peniaga buah-buahan, Norizan Salleh, 33, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, dia ternampak adegan kejar-mengejar di antara dua kenderaan polis dengan sebuah kereta Honda Accord.
“Saya menyangka ada adegan lakonan filem sedang dijalankan di kawasan Bukit Merah, pagi ini (semalam).
“Ketika itu, saya melihat sebuah Proton Waja polis bertindak memintas kereta Honda Accord dinaiki seorang lelaki sebelum semua kenderaan ini berhenti di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian, semalam.
Susulan itu, menurutnya, tiga anggota polis keluar dari kenderaan dan mengacukan pistol ke arah pemandu kereta Honda Accord.
“Bagaimanapun, lelaki itu bertindak melepaskan tembakan ke arah anggota polis dan adegan tembak- menembak bermula seolaholah mereka sedang menjalani penggambaran filem,” katanya.
Melihat adegan itu, Norizan pada mulanya menyangka ada syarikat produksi filem tempatan sedang menjalankan penggambaran filem.Dia tidak menyedari ia adalah kejadian sebenar memandangkan pemandu kereta Honda Accord dilihat seolah-olah melepaskan tembakan
rambang tanpa ‘peluru’.
rambang tanpa ‘peluru’.
“Sangkaan saya meleset apabila melihat pemandu kereta ini bertindak mencampakkan sesuatu seperti bom tangan ke arah dua kenderaan polis berkenaan.
“Ketika itu, baru saya sedar kejadian itu benar apabila melihat-tiga anggota polis berkenaan melarikan diri sambil menjerit mengarahkan saya lari ke tempat lebih selamat,” katanya.
Norizan berkata, kejadian itu berlaku hanya beberapa meter dari gerainya, bagaimanapun, bom tersebut tidak meletup, malah sempat menyaksikan tindakan pantas anggota polis menembak mati lelaki berkenaan yang dilihat cuba melarikan diri ke dalam semak berhampiran.
Geseran tayar disangka kemalangan
MANAKALA, seorang lagi saksi kejadian, Siti Zaleha Hassan, 29 dan kakaknya menyangka tiga kenderaan berkenaan terlibat dalam kemalangan setelah terdengar bunyi geseran tayar.
“Saya bergegas keluar dari gerai melihat kejadian sebenar memandangkan pada mulanya kami menyangka berlakunya kemalangan.
“Bagaimanapun, saya bersama beberapa orang awam lain bertindak melarikan diri setelah mendengar bunyi tembakan bertalu-talu di lokasi kejadian kerana bimbang peluru sesat mengenai kami,” katanya.
- SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment