WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sekali lagi dipilih sebagai individu paling berkuasa di dunia oleh majalah Forbes bagi tahun 2012.
Pemilihan kali kedua berturut-turut itu dibuat berdasarkan kemenangannya pada pilihan raya Presiden AS pada bulan lalu dan cabaran besar yang dilaluinya termasuk berdepan krisis bajet, pengangguran dan konflik di Asia Barat.
"Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Obama kekal sebagai ketua kuasa tentera paling kuat di dunia, mengepalai kuasa ekonomi dunia dan kebudayaan," kata majalah itu.
Canselor Jerman, Angela Merkel, menduduki tempat kedua dengan Forbes menggambarkan wanita itu sebagai tulang belakang kepada 27 negara anggota Kesatuan Eropah (EU) dan individu yang menggalas masa depan matawang euro.
Tempat ketiga menjadi milik Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang dilantik semula memegang jawatan itu bagi penggal ketiga 'selepas beberapa tahun bertukar jawatan' dengan Perdana Menteri Rusia, Dmitri Medvedev.
Forbes menyenaraikan 71 nama sebagai individu paling berkuasa tahun ini, bersamaan anggaran bilangan penduduk dunia sebanyak 7.1 bilion ketika ini, bermakna satu nama mewakili 100 juta penduduk.
Forbes berkata, pemilihan dilakukan berdasarkan empat kriteria iaitu kuasa pemerintahan, kawalan sumber kewangan, kuasa dalam pelbagai sudut kehidupan dan penggunaan kuasa secara aktif oleh individu tersebut.
Pengasas Microsoft, Bill Gates berada di tangga keempat, sementara pemimpin bagi 1.2 juta penganut Kristian Katolik di dunia, Pope Benedict XVI menduduki tangga kelima.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Facebook, Mark Zuckerberg berada di tangga keenam berikutan penglibatan syarikat itu dalam menawarkan saham awam permulaan (IPO) di bursa saham Nasdaq.
Senarai individu paling berkuasa kali ini turut menyenaraikan pemimpin muda Korea Utara, Kim Jong-un, 29, yang mengambil alih pemerintahan daripada bapanya, Kim Jong-il yang meninggal dunia awal tahun ini, di tangga ke-44. - AFP
No comments:
Post a Comment